HALAMAN SANTAI

Ahad, 21 Ogos 2011

Presiden Gerakan syor Speaker Dewan Rakyat ketuai panel khas pilihan raya


KUALA LUMPUR – Presiden Gerakan Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengesyorkan agar jawatankuasa pilihan khas Parlimen diketuai oleh Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, bukannya menteri Kabinet.

Koh (gambar) berkata Speaker Dewan Rakyat merupakan orang yang paling sesuai untuk mengetuai panel dwipartisan itu, yang akan ditubuhkan Oktober ini.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz memberitahu ia akan diketuai oleh seorang menteri.

“Ia (pengerusi) seharusnya seorang Speaker, seharusnya bukankah begitu? Beliau lebih berkecuali. Beliau seharusnya lebih berkecuali,” kata beliau kepada The Malaysian Insider selepas mempengerusikan mesyuarat kepimpinan Gerakan di sini hari ini.

Semalam, Nazri berkata seorang menteri dari Barisan Nasional (BN) akan mempengerusikan jawatankuasa itu tetapi Pakatan Rakyat mahu kerusi tersebut diberikan kepada mereka.

Nazri berkata jawatankuasa tersebut akan terdiri daripada lima wakil BN, tiga dari pembangkang dan seorang Bebas.

Bagaimanapun Koh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata nisbah keanggotaan 5:3:1 itu adalah adil kerana ia menggambarkan komposisi anggota Dewan Rakyat yang dipilih.

Pentadbiran Najib memutuskan untuk membentuk jawatankuasa pilihan khas lima minggu selepas perhimpunan Bersih 2.0, yang diadakan untuk menuntut pembaharuan pilihan raya.

Tiada ulasan: