HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Oktober 2011

‘Saya tak risau kritikan Ketua Audit’

Malah KSN masih berpuas hati dengan tahap reputasi perkhidmatan awam walaupun masih ada banyak ruang yang perlu diperbaiki.



PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Sidek Hassan hari ini berkata beliau tidak risau dengan kritikan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang melalui Laporan Audit 2010 yang dikeluarkan semalam.

Malah beliau masih berpuas hati dengan tahap reputasi perkhidmatan awam walaupun masih ada banyak ruang yang perlu diperbaiki.

“Saya tak risau apabila Ketua Audit memberi pandangan sedemikian. Tapi saya risau sekiranya ada masalah dan beliau tak memberi pandangan…itu memang tugas beliau,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan i-Pass yang baru kepada 11 residen profesional asing di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Katanya, kakitangan awam perlu membuat peningkatan mutu kerja terutamanya membabitkan pencapaian Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) supaya perbelanjaan peruntukan yang diberikan dalam Belanjawan Negara setiap tahun dilaksana dengan lebih berkesan.

“Tanggungjawab kita adalah supaya tak mengulangi lagi apa yang disebut Ketua Audit seperti tahun-tahun dulu..itulah matlamat kita,” katanya.

Laporan Audit yang dikeluarkan semalam mengkritik pengurusan beberapa jabatan kerajaan termasuk tadika Kemas di Kedah yang menjadikan tandas sebagai stor menyimpan makanan, serta menyarankan Risda Plantation Sdn Bhd mengambil tindakan undang- undang ke atas tujuh kakitangannya yang tidak memulangkan wang pembelian komoditi berjumlah RM1.16 juta.

Laporan Audit sebelum ini juga pernah menjadi tanda tanya kerana dikeluarkan hanya 18 hari selepas Belanjawan 2012 dibentangkan di Dewan Rakyat.

Tiada ulasan: