Sekiranya kedua-dua parti enggan bersatu, undang-undang hudud ini bukan sahaja tidak dapat dilaksanakan di negeri- negeri malah di peringkat persekutuan juga.
SHAH ALAM: Pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berpendapat PAS dan Umno perlu bersatu agar undang-undang hudud dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Beliau berkata sekiranya kedua-dua parti enggan bersatu, undang-undang hudud ini bukan sahaja tidak dapat dilaksanakan di negeri- negeri malah di peringkat persekutuan juga.
Beliau berkata demikian pada Forum Wacana Sinar Harian: Hudud Dilema dan Pelaksanaannya di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf di sini semalam.
Antara ahli panel termasuklah Exco Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah; Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Mohd Isa Abd Ralip serta Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik selaku moderator.
Mohd Ridhuan berkata memandangkan penerimaan orang bukan Islam terhadap undang-undang hudud adalah negatif maka penyatuan kedua-dua parti (Umno dan PAS) yang majoriti ahlinya adalah orang Islam adalah penting bagi memastikan pelaksanaan hudud menjadi kenyataan.
Tegas beliau, “pandangan saya umat Islam perlu fikir untuk laksanakan undang-undang ini. PAS dan Umno perlu duduk semeja dan fikir tentang agama kita agar tidak dipijak-pijak. PKR saya tidak tahulah…..”
Menurut Mohd Ridhuan, sepanjang pergaulan dan kajiannnya terhadap golongan muda di institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta mendapati undang-undang berkaitan Islam tidak diterima baik oleh mereka.
Laksana hudud secara paksa
Beliau berpendapat pelaksanaan hudud perlu dilakukan secara ‘paksa’ memandangkan peluang untuk melaksanakan undang-undang sedemikian telah wujud ketika 13 Mei 1969 lagi.
“Bercakap mengenai orang bukan Islam sampai bila-bila mereka tidak akan dapat menerima undang-undang seperti ini jika kita sesama umat Islam tidak menunjukkan contoh yang baik kepada mereka.
“Malah keadaan hari ini tidak banyak membantu kerana umat Islam berpecah belah dan lagi pula kita tidak boleh hanya mengharapkan orang bukan Islam menerimanya.
“Sepanjang pergaulan dan kajian saya selama tiga tahun……20 tahun atau 54 tahun lagi pun keadaan tidak akan berubah. Kajian ke atas orang muda tentang Islam pula mendapati mereka tidak boleh terima.
“Kita perlu melaksanakan hudud secara paksa….tiada cara lain. Kita tidak boleh paksa orang bukan Islam memeluk Islam tapi kita boleh paksa supaya mereka tunduk di bawah negara Islam,” katanya yang juga seorang pendakwah bebas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan