KUALA LUMPUR — Bekas mufti Perlis berkata sama ada sesebuah negara menggunakan nama ‘negara Islam’ ataupun sebaliknya tidak penting, sebaliknya apa yang perlu diutamakan ialah usaha mewujudkan negara tidak bercanggah dengan prinsip al-Quran termasuk memberi keadilan kepada setiap rakyat.
Sehubungan itu tambah Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin (gambar), menolak sesuatu tafsiran tentang negara Islam bukan semestinya menolak Islam, namun jika membenci atau tidak bersetuju dengan nas-nas al-Quran dan as-Sunah itu sendiri, maka dia memang menolak Islam.
“Apa yang penting gerakan Islam hendaklah mewujudkan sebuah negara yang tidak menyanggahi al-Quran dan as-Sunah dan memenuhi inspirasi rakyat di era ini. Peduli apa pun namanya!” kata beliau dalam tulisan terbarunya.
Dengan mengambil kira polemik mengenai negara Islam termasuk di Malaysia, Felow Pusat Pengajian Islam Oxford ini berkata hari ini di Barat, Turki nampaknya disanjung dan ramai yang memuji negara Islam moden yang cuba dibuat oleh negara benua Eropah itu.
“(Bagaimanapun) itupun satu lagi tafsiran negara Islam. Ya, ramai yang memuji negara Islam model Turki. Jika seseorang memilih negara Islam model Turki dan menolak model Iran atau Taliban, itu juga satu tafsiran yang perlukan perincian,” katanya lagi.
Tokoh agama muda progresif ini menambah, disebabkan kecenderungan memilih ‘jalur keras’ dan literal dalam memahami nas-nas politik dalam Islam, maka ada tokoh-tokoh gerakan Islam menampilkan pandangan-pandangan yang dianggap terkeluar konteks politik kerangka hari ini.
Katanya, keadaan itu menyebabkan generasi baru, sekali pun bertudung dan bernasyid, belum tentu bersetuju dengan negara Islam model tersebut.
“Menolak negara Islam yang ditafsirkan oleh sesuatu pihak, bukan semestinya menolak Islam,” kata beliau yang menghasilkan tulisan ini dengan turut mengambil kira konteks negara ini.
Asri yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia berkata, seseorang dikira menolak Islam apabila membantah sesuatu nas yang jelas dari al-Quran dan as-Sunah.
“Nas yang tidak mungkin mempunyai lebih dari satu tafsiran seperti haramnya arak, judi, zina, homoseks, riba, rasuah, pecah amanah, bunuh dan seumpamanya.
“Adapun nas yang terdedah kepada pelbagai tafsiran, jika seseorang menolak salah satu tafsiran ulama, bukanlah bererti menolak Islam,” kata beliau sambil menambah, “hal ini hendaklah difahami kerana jika tidak, semua Muslim akan terdiri daripada kalangan yang menolak Islam.”
Asri menjelaskan, ini kerana dalam ribuan hukum, yang mempunyai ribuan tafsiran, setiap orang akan memilih tafsiran tertentu. “Mereka yang bermazhab Shafie, secara tidak langsung menolak pandangan mazhab-mazhab yang lain. Begitulah sebaliknya,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan