PULAI ― Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin hari ini mengulangi gesaan agar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melepaskan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ekoran pendedahan isu projek ternakan lembu Pusat Fidlot Nasinal (NFC) yang dikaitkan dengan keluarganya.
Jelas Zuraida (gambar), cabaran itu dibuat berdasarkan tindakan menteri itu yang dilihat gagal menjalankan tanggungjawabnya dengan berkesan dan memperjuangkan institusi wanita di negara ini secara berkesan.
“Kontroversi NFC ini telah mencalarkan imej beliau sebagai menteri dan juga imej wanita di negara ini,” katanya dalam ucapan dasar pada Kongres Wanita PKR di sini.
“Wanita PKR dengan ini mencabar Datuk Seri Shahrizat untuk meletak jawatan kerana beliau tidak lagi dapat menjalankan tugas dengan sempurna, dan tindakan itu perlu bagi memelihara maruah wanita,” tegasnya.
Jelasnya lagi, tindakan Ketua Wanita Umno itu merupakan pengkhianatan yang memalukan golongan wanita termasuk Umno.
Dalam ucapannya, Zuraidi berkata, Shahrizat perlu berbuat demikian untuk menjaga maruah beliau sebagai seorang wanita.
“Demi menjaga maruah wanita, Shahrizat perlu meletak jawatan kerana beliau sendiri seorang wanita,” katanya lagi.
Masalah membabitkan NFC didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara bulan lalu dan kini disiasat oleh polis.
Mengulas mengenai calon pilihan raya akan datang, Zuraida menjelaskan, Wanita PKR tidak meletakkan aspek rupa dan pendidikan sebagai syarat utama, sebaliknya akan meliputi pelbagai aspek secara keseluruhan.
“Kalau Shahrizat hendak meletakkan calon yang cantik, hak mereka, tapi wanita PKR bukan memandang dari aspek imej dan pedidikan yang paling tinggi, sebaliknya mempunyai kredibiliti yang mampu berjuang untuk parti dan berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan