KUALA LUMPUR — Dua pertubuhan bukan kerajaan Islam hari ini menyeru masyarakat berbilang kaum bergandingan untuk beramai-ramai menolak budaya songsang yang cuba dibawa oleh golongan yang memperjuangkan kebebasan dan hak kesamaan jantina.
Pendirian ini dikeluarkan di sebalik polemik mengenai diskusi yang diadakan mengenai soal undang-undang keluarga dan hak kesamaan jantina.
Ketua Wanita dan Keluarga Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Norsaleha Mohd. Salleh berkata, budaya songsang seumpama itu tidak pernah menjadi ajaran mana-mana agama termasuklah ajaran Kristian, Hindu dan Buddha.
“Islam sebagai agama yang mempunyai paling ramai penganutnya di Malaysia menolak sekeras-kerasnya budaya songsang yang tidak bertamaddun ini,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Kata beliau, kegilaan kepada budaya gay, lesbian, pengkid dan kebebasan seks bukan sahaja ancaman kepada anak-anak dan generasi akan datang tetapi bahaya yang telah melanggar jati diri negara yang tertegak di atas nilai-nilai agama dan moral yang tinggi.
“Sekiranya budaya ini tidak dibanteras sekarang, tidak mustahil suatu masa nanti rakyat Malaysia berkemungkinan mempunyai perdana menteri daripada golongan gay atau perdana menteri yang merupakan anak bukan sah taraf. Apakah itu yang kita mahu?” katanya.
Kata beliau, pada minggu lepas masyarakat Malaysia dikejutkan dengan dakwaan Presiden Isma Abdullah Zaik Abd. Rahman tentang enam juta belia Malaysia yang mengalami krisis identiti.
Sehubungan itu katanya, Festival Seksualiti Merdeka 2011 yang sedang berlangsung merupakan bukti terbaru kecelaruan identiti dalam kalangan belia semakin meruncing dan berada pada tahap yang membimbangkan umat Islam.
“Ini menunjukkan wujud usaha yang secara sengaja dan terancang sedang bergerak secara rancak mempromosi idea liberalisasi dan normalisasi dalam kalangan masyarakat melalui aktiviti kesamaan gender, gay, lesbian dan homoseksual secara terang-terangan di Malaysia. Kumpulan ini bergerak secara berani dan terang-terangan melalui slogan hak asasi manusia.
Dalam pada itu, Setiausaha Gabungan Pertubuhan-pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN) Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, pihaknya mahu mengingatkan Suhakam, Majlis Peguam, Empower, KRYSS, Tenaganita, Seksualiti Merdeka dan semua pihak yang terlibat dalam program diskusi meja bulat semalam dan inisiatif lain seumpamanya bahawa tuntutan utama gerakan Homoseksual di Malaysia bercanggah dengan asas ajaran Islam dan semua agama yang menyumbang melebihi dua pertiga populasi dunia dan melebihi 90 peratus penduduk Malaysia.
“ACCIN terpanggil untuk menjelaskan kepada warga Malaysia bahawa semua agama banyak berbeza dalam kepercayaan, tetapi berkongsi banyak nilai moral seperti berdosanya atau salahnya judi, arak dan zina di luar perkahwinan sama ada melibatkan hubungan heteroseksual, homoseksual, transgender dan sebagainya.
“Hubungan homoseksual jelas melawan fitrah menurut majoriti agama. Ia dinyatakan oleh pelbagai institusi agama,” katanya lagi.
Kata beliau, ACCIN ingin mengajak parti politik dan masyarakat pelbagai agama untuk bersuara menyelar tuduhan tidak berasas transfobia, homofobia dan heterosexsualisme ke atas semua agama dan tindakan mengeksploitasi agama untuk menghalalkan zina oleh gerakan ini.
“Ianya membuktikan trend diskriminasi ke atas agama berdasarkan faktor ‘religionphobia’, khasnya Islamofobia memang berlaku, semakin meningkat dan membimbangkan,” katanya lagi.
ACCIN kata beliau, sedia bekerjasama dan meminta negara dan Suhakam agar mengambil tindakan kerana fitnah terhadap agama telah dianggap sebagai melanggar hak asasi manusia di PBB, OIC dan pelbagai mekanisme hak asasi manusia antarabangsa.
“ACCIN juga berharap agar ahli politik dan masyarakat tidak terpengaruh dengan lobi sosiopolitik gerakan ini dan lebih spesifik apabila membicarakan tentang transgender. Kerana, istilah transgender boleh merangkumi golongan transvestit, intekseks, lesbian, gay, biseksual dan sebagainya. “Transgender yang benar-benar mengalami masalah kekeliruan orientasi seksual dan identiti jantina yang diperakui agama dan pakar perubatan wajar dan telah pun diiktiraf di seluruh dunia,” katanya lagi.
Kata beliau, ACCIN juga menyeru masyarakat Malaysia agar tidak menyokong mana-mana pemimpin masyarakat yang tidak menghormati asas dan kesucian agama, khasnya Islam yang juga agama Persekutuan, tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan parti politik, termasuk yang menyokong gerakan homoseksual dan tuntutan utamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan