HALAMAN SANTAI

Rabu, 2 November 2011

PPSMI: MIC juga mahu Putrajaya kaji semula keputusan


KUALA LUMPUR — MIC, satu lagi parti komponen Barisan Nasional (BN) mahu Kementerian Pelajaran mengkaji semula keputusannya memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Presidennya Datuk G Palanivel (gambar) berkata, partinya tidak mahu kerajaan tergesa-gesa dalam pelaksanaan pendekatan baru itu, sebaliknya memberi pertimbangan yang mendalam.

“Kita perlu mempertimbangkan reaksi publik dalam isu ini,” kata beliau lagi.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik terus-menerus mendesak kerajaan mengkaji semula dasarnya dan memberi opsyen kepada pelajar untuk mengikuti kedua-dua subjek berkenaan — sama ada dalam Bahasa Inggeris ataupun Bahasa Kebangsaan.

PAGE, salah satu pertubuhan bukan kerajaan terbabit, menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.

Dalam kenyataannya, Palanivel juga berkata ketika pilihan raya kecil kerusi DUN Merlimau, sekumpulan ibu bapa telah menyerahkan memorandum kepadanya mengenai perkara tersebut.

Palanivel yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Kementerian Pelajaran perlu dengan serius mendengar reaksi dan cadangan-cadangan daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru, ibu bapa sendiri dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

“Kami tidak mahu kesan balas buruk daripada ibu bapa yang marah,” kata Palanivel lagi.

Katanya, beliau merasakan kementerian itu seharusnya mengambil kira pandangan kesemua pihak sebelum memansuhkan dasar PPSMI.

“Salah satu opsyen ialah mempertimbangkan pengajaran sains dan matematik dalam kedua-dua Bahasa Malaysia dan Inggeris.

“Ia belum terlewat. Kita masih boleh mempertimbangkan keputusan itu,” tambah Palanivel.

Sabtu itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran berkata keputusan memansuhkan PPSMI adalah muktamad.

Tiada ulasan: