HALAMAN SANTAI

Khamis, 3 November 2011

Khalid Samad: PAS Kecam Menteri MITI, Memutar Belit Kenyataan Presiden PAS Berkaitan Isu Lynas

PAHANG DAILY


KUALA LUMPUR -PAS mengecam Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang memutar belit kenyataan Presiden parti itu mengenai pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi oleh syarikat Australia, Lynas Corporation Ltd (Lynas).

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad (foto) berkata, tindakan Mustapa yang merujuk kepada kenyataan Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum keputusan rasmi dibuat parti itu adalah tidak wajar.

"Pihak menteri pun bertindak dengan tidak bertanggungjawab dengan merujuk kepada kenyataan yang dibuat (Hadi) sebelum PAS buat keputusan rasmi selepas kita bermesyuarat,"
kata beliau semalam.

Ustaz Hadi dalam muktamar PAS Jun lalu ada menyebut akan merujuk mengenai tahap keselamatan projek pembinaan tersebut kepada pakar-pakar dalam bidang berkaitan daripada parti itu sendiri.

"PAS buat kenyataan rasmi bahawa pembinaan Lynas berbahaya dan tidak boleh diteruskan sebelum Lynas memberikan penjelasan kepada penduduk.

"Menteri putar belit kenyataan Presiden dengan menggunakan hujah (Ahli Parlimen) Hulu Langat yang daripada sisi beliau sebagai pakar nuklear.

"Mengikut disiplin nuklear memang tak selamat tapi kena ikut disiplin yang lain juga,"
katanya.

Dr. Che Rosli Mamat, Ogos lalu mengeluarkan kenyataan bahawa projek pembinaan tersebut tidak berbahaya kepada penduduk setempat. Bagaimanapun kata Khalid, ianya merupakan pandangan peribadi beliau, bukan pendirian PAS dan disokong Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad yang turut bersama pada sidang media itu semalam.

[Jika benar dakwaan ini, maka ternyata Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed telah melakukan satu kesilapan besar sebenarnya.

Sebagai Menteri yang berkenaan, beliau tidak wajar mengeluarkan hujah tanpa fakta yang betul kerana dia bercakap bagi pihak kerajaan Malaysia itu sendiri. Jika Menteri berani berdusta di Parlimen, makanya apakah rakyat boleh percaya dengan kekalutan isu Lynas ini agaknya.

Maka itulah, rakyat terus bangkit dan memberontak kerana mereka tahu memang ada banyak rahsia yang terselindung disebalik projek ini sebenarnya. Rakyat tidak wajar dinafikan hak untuk terus menyatakan bantahan, kerana mereka memang ragu-ragu dengan kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak-pihak yang berkenaan.

Apapun, kerajaan juga ada hak untuk mempertahankan projek berkenaan kerana mungkin ia mendatangkan hasil lumayan kepada negara dalam jangkamasa yang lama. Lantaran itu, mereka perlu keluarkan hujjah bagi mengesahkan yang projek berkenaan tidak berbahaya seperti yang diwar-warkan. Rakyat berhak untuk mendapatkan gambaran jelas isu ini].

Tiada ulasan: