HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Jun 2012

Turun Harga Barang, Kawal Jenayah Antara Tuntutan FOMCA Dalam PRU13





PETALING JAYA  : Penurunan harga barang, tingkat pengangkutan awam dan kawal kadar jenayah merupakan tiga isu utama yang dituntut pengguna, kata Datuk Marimuthu Nadason.

Beliau yang juga Presiden Gabungan Persatuan- persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), berkata tuntutan itu berdasarkan kaji selidik yang dilakukan selepas Pilihan Raya Umum Ke -12, 2008 hingga 2011 melalui kempen konsumer kebangsaan (3K).

Katanya, manifesto bagi PRU13 itu diwujudkan memandangkan pengundi juga merupakan golongan pengguna.

“Isu kenaikan harga barang merupakan masalah utama bagi rakyat Malaysia. Taraf hidup yang semakin meningkat menyebabkan rakyat tertekan.

“Oleh itu, tumpuan perlu diberikan kepada sektor pertanian bagi menstabilkan harga, ” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya pagi tadi.

Selain itu, kerajaan harus memberikan komitmen yang serius untuk menambah baik pengangkutan awam, bukan sahaja di Lembah Klang tetapi juga di seluruh negara.

“Kerajaan juga harus mencari jalan bagi mengurangkan kadar jenayah di negara ini, ” katanya.

Manifesto tuntutan itu berdasarkan lapan hak pengguna antaranya hak mendapat keperluan asas, keselamatan, pilihan, maklumat, bersuara, ganti rugi, pendidikan pengguna dan alam sekitar yang sihat.

Ia dilancarkan sempena PRU13 akan datang dan merupakan pertama kali dilancarkan sebelum pilihan raya.

“Manifesto ini bagi mewujudkan kesedaran dan peringatan kepada parti politik yang akan bertanding pada PRU13 tentang isu-isu kepenggunaan.

“Pihak kami tidak kisah siapa yang memenangi PRU13 nanti, apa yang kami mahu hanya sebuah kerajaan yang boleh melindungi kami dengan baik.

“Kami mahu kerajaan mengambil serius apa yang dituntut ini. Kami harap perkara ini dibentangkan di Parlimen dan bukan hanya membahaskan isu politik sahaja, ” katanya.

Marimuthu menambah Fomca turut mencadangkan agar pengawalseliaan perlindungan pengguna diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri(JPM) bukannya di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Pihak Fomca berasa terkilan kerana setiap kali ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang baru, mereka diberikan peruntukkan khas tetapi tidak bagi kami.

“Di Singapura, kerajaan mereka memberikan peruntukkan khas kepada persatuan pengguna. Fomca tidak seperti NGO lain yang hanya membincangkan isu asas sahaja, ” katanya.

Justeru, jika di bawah JPM, Fomca dapat memberi lebih pendekatan perlindungan yang lebih menyeluruh dan bersepadu kepada pengguna.

Manifesto tuntutan itu akan dihantar ke Pejabat Perdana Menteri tidak lama lagi.

“Kami juga sudah menghantar ke semua parti pembangkang dan akan diedarkan kepada orang ramai,” katanya.

Katanya, parti terlibat juga diharap membuat perancangan untuk melaksanakan dasar dan program berkaitan isu tersebut apabila berjaya membentuk kerajaan.

Tiada ulasan: