HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Jun 2012

Rakyat boleh nilai negara selamat atau tidak

Salmiyah Harun,
KUALA LUMPUR: Sejauh mana negara Malaysia dikatakan paling selamat, hakikatnya hanya rakyat negara ini sahaja yang mengetahui sama ada negara mereka selamat atau tidak.

Saban hari ada sahaja laporan dan berita tentang pembunuhan, rompakan, samun, dan rogol disiarkan dan suasana inilah yang terus mengantui rakyat negara ini justeru merasakan mereka tidak selamat.

Ajk PAS Pusat, Anuar Tahir (gambar) mengakui Malaysia dari kaca mata rakyatnya sendiri masih lagi belum selamat bukan sahaja di bandar bahkan di kampung-kampung juga tidak selamat.

Malah beliau percaya kadar jenayah yang dilaporkan menurun hanya di atas kertas semata-mata jadi ia tidak menggambarkan keseluruhan apa yang berlaku.

"Sama juga dalam sesetengah kajian mengatakan indeks rasuah negara menurun, tetapi kita yang berada dalam suasana hari ini sebenarnya rasuah masih berjalan berleluasa.

"Begitu juga dalam konteks jenayah, rompakan tidak serik-serik berlaku baru lepas dari penjara esoknya merompak lagi. Kejadian ragut sehingga membawa maut masih belum berhenti, ibu dibunuh dengan ngeri dan penagihan dadah tidak pernah berkurangan," tegas beliau.

Ekoran itu beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pekerja PAS Pusat  berkata, masih belum nampak kadar jenayah menurun dan suasana ini menggambarkan Malaysia masih belum selamat.

Anuar berkata, soal keselamatan bergantung kepada banyak faktor sosial termasuklah tidak ada pekerjaan, gaji tidak cukup, ekonomi teruk, harga barang meningkat dan kerohanian yang tidak diperkukuhkan.

"Faktor itu kait mengait antara satu sama lain,  faktor inilah yang mendorong kepada berlakunya jenayah kehidupan rakyat terancam dan tidak selamat," katanya.

Justeru Anuar tidak fikir kajian yang di jalankan oleh badan antarabangsa terbabit dibuat secara detil dan mendalam.

Terdahulu, Malaysia diiktiraf oleh badan antarabangsa World Justice Project sebagai negara paling selamat di kalangan 19 buah negara berpendapatan sederhana tinggi di dunia.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Abdul Rahim Mohd. Radzi berkata, malah Malaysia juga diiktiraf sebagai negara yang ke-12 paling selamat secara keseluruhan mengatasi Amerika Syarikat dan Britain.

“Program GTP (Program Transformasi Kerajaan) dan NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara) Mengurangkan Jenayah telah mendapat pengiktirafan antarabangsa, contohnya Global Peace Index telah menempatkan Malaysia di tempat pertama selamat dan aman di Asia Tenggara serta keempat aman di kawasan Asia Pasifik," katanya.

Tiada ulasan: