HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Jun 2012

Haji, pilihan raya dan Umno

Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Saya merasa hairan sekiranya Umno yang memimpin kerajaan BN tidak mengizinkan pilihanraya diadakan di musim haji, kalau berlaku sebaliknya memang menghairankan. Umno pernah menggunakan kuasanya mengadakan pilihanraya umum di musim haji, kerana dasar dan konsep perjuangannya terus berpegang teguh dengan nasihat Suruhanjaya Reid yang meletakkan agama sebahagian sahaja daripada aspek politik dan urusan negara sebagaimana Umno melaksanakan tugasnya menghapuskan tulisan jawi dan meletakkan kedudukan agama yang ada di bawah kuasa raja-raja sekarang tanpa perubahan walaupun kemerdekaan sudah berlalu lebih lima puluh tahun.  Maka mengadakan pilihanraya di musim haji terlalu kecil bagi Umno, kerana pilihanraya dianggap tidak ada hubungan dengan dosa dan pahala boleh menipu, rasuah dan sebagainya. Kalau berdosa pun boleh ditampung dengan haji dan umrah subsidi.
Kepada Umno ibadat haji boleh dipolitikkan, bukan sahaja mengadakan pilihanraya di musim haji dengan menafikan hak mengundi kepada kalangan umat Islam yang berada di Makkah atau Madinah. Pilihanraya boleh diadakan di musim haji sekiranya mengurangkan sedikit undi yang boleh memberi kemenangan kepada BN  walaupun dengan majoriti kecil khususnya di negeri-negeri utara dan Pantai Timur Semenanjung. Bahkan Umno boleh mempolitikkan haji dengan mengeluarkan wang peruntukan kerajaan bagi memberi subsidi haji kepada imam-imam, JKKK dan sebagainya. Walaupun rukun haji diwajibkan kepada seseorang yang mampu secara individu bagi dirinya dan berbuat kebajikan sunat kepada kalangan keluarga dan sahabat. Maka memberi subsidi haji dan umrah oleh kerajaan tidak wajib dan menerimanya juga tidak wajib, bahkan haram sekiranya menjejaskan peruntukan rakyat miskin yang pendapatannya tidak mencukupi  sara hidup, begitu juga pelajar-pelajar miskin yang menuntut ilmu fardu kifayah. Memang ternyata masih ramai yang tercicir dan ada yang dinafi dan dibatalkan haknya kerana tidak menyokong Umno.

PAS tetap menegaskan bahawa memilih musim haji bagi tarikh pilihanraya adalah bercanggah dengan Islam, kerana politik adalah sebahagian penting bagi agama Islam dan menjadi syarat kepada melaksanakan hukum-hukum Islam yang banyak, termasuklah membuktikan Islam itu adil kepada seluruh manusia dan seluruh alam serta melaksanakan kewajipan amar makruf dan nahi munkar dengan kuasa pemerintahan negara.

Saya telah menjelaskan hujah syarei dalam tulisan sebelum ini, walaupun ramai yang tidak boleh menerimanya kerana asas ilmu feqah politik yang tidak ada sedikit pun. Allah pernah menempelak para pemimpin Makkah yang berbangga dengan khidmat hajinya dan memakmurkan Al Masjid Al Haram, di mana pahalanya seratus ribu kali ganda daripada beramal di masjid yang lain daripada Masjid Madinah dan Masjid Aqsa.

Firman Allah:
أجعلتم سقاية الحاج وعمارة المسجد الحرام كمن آمن بالله واليوم الآخر وجاهد في سبيل الله , لا يستوون عند الله والله لا يهدي القوم الظالمين . التوبة 19
(Adakah kamu jadikan amalan memberi layanan minuman air kepada para jamaah haji dan mengimarahkan Al Masjid Al Haram itu, sama seperti kalangan yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, serta berjihad pada jalan Allah (menegakkan agamanya )? Sebenarnya mereka tidak sama di sisi Allah dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim ).

Mengundi adalah hak yang ditunaikan bagi memilih pemimpin dan kerajaan. Kewajiban ini mengikut ajaran Islam adalah satu amanah yang sangat besar dibebankan kepada umat Islam.

Firman Allah:
إن الله يأمركم أن تؤدوا الآمانات إلى إهلها وإذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل إن الله نعما يعظكم به إن الله كان سميعا بصيرا  . (النساء ).
Sesungguhnya Allah memerintah kamu supaya menunaikan amanah dengan menyerahkan kepada orang yang mampu menunaikannya. Dan apabila kamu melaksanakan hukuman di kalangan manusia hendaklah berlaku adil, sesungguhnya Allah menyuruh kamu melakukan ajaran yang terbaik, sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Melihat.)

Maka pilihanraya memilih pemimpin dan kerajaan adalah kewajipan besar dalam ajaran Islam, bagi menunaikan amanah, menyerahkan amanah yang menentukan baik dan buruk, adil dan zalim yang menjadi kepentingan umum dan masa depan dunia sehingga akhirat. Rasulullah S..A.W. meletakkan hilangnya amanah memberi tugas memimpin umat kepada orang yang tidak melaksanakan Syariat Allah menjadi punca kemusnahan yang membawa berlakunya ajal dunia. Memilih pemimpin bukan kerana kelayakan agama, akhlak dan ilmunya tetapi kerana wang, pangkat dan sebagainya adalah mengkhianati Allah dan Rasul.

Sebahagian besar para sahabat R.A. hanya bersembahyang jenazah Rasulullah S.A.W. kemudian berundur meninggalkan upacara mengebumikan jenazahnya yang mulia kerana menghadirkan diri dalam perhimpunan di Thaqifah Bani Saidah, melaksanakan amanah yang lebih besar daripada mengebumikan jenazah Rasulullah S.A.W. iaitu amanah pemilihan Khalifah pertama, yang membuat keputusan majoriti memilih Abu Bakar R.A.

PAS hanya mampu mengerahkan segelintir ahlinya sahaja dengan penyebaran ajaran politik Islam, supaya menangguhkan haji wajib kalau berlaku pilihanraya, kerana memilih wajib menunaikan amanah besar yang tidak boleh ditangguh kerana dipaksa. PAS tidak mampu menyebarkan kefahaman ini kepada masyarakat Islam seluruhnya, kerana khutbah Jumaat di masjid-masjid, ustaz-ustaz upahan dan media digunakan oleh BN bagi menyempitkan fahaman umat Islam terhadap ajaran Islam dan menyebarkan fitnah terhadap PAS melalui segala medan, termasuk media yang berlagak Islam, mencampurkan dosa dan pahala, benar dan bohong, laksana lembu yang mengibas ekor di belakang terhadap sesiapa sahaja dan hanya melihat ke hadapan ke arah rumput yang boleh diisi ke dalam perut.

Warga Turki yang bekerja di Australia yang peka dengan amanah ini, pulang ke negaranya dengan tambang berlipat kali ganda daripada menunaikan haji. Mereka pulang untuk mengundi parti Islam sehingga mengalahkan kaum Kamal Atarturk yang memaksa umat Islam Turki dengan pemerintahan sekularisme yang melemahkan Turki dan merosakkannya. Warga Mesir dan Tunisia di luar negara berjaya memenangkan parti Islam setelah berlakunya kesedaran politik sehingga mengalahkan parti ala Umno di negara masing-masing.

Harapan PAS kepada umat Islam di negara ini supaya bersedia menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 walaupun Umno BN melaksanakannya tanpa mengira musim haji. Tema politik itu kotor (politic is dirty), adalah penipuan penjajah terhadap umat Islam supaya meninggalkan politik dan memberi ruang dan peluang kepada mereka dan pengikut mereka menjajah selama-lamanya dan menghalang Islam berdaulat. Sebenarnya merekalah yang mengotorkan politik yang menjadi amanah Allah yang termasuk dalam perkara kerasulan yang membawa rahmat Allah kepada seluruh  alam dengan melaksanakan Islam yang adil kepada semua dan matlamat kejadian manusia yang dihisab pada Hari Akhirat nanti. Akhirnya Rasulullah S.A.W. memberi jaminan daripada Allah, bahawa sesiapa yang melaksanakannya dengan sempurna menjadi kalangan pertama daripada tujuh jenis manusia yang bernaung di bawah naungan Allah di padang Mahsyar.


Tiada ulasan: