Presiden Fomca Datuk N. Marimuthu berkata Barisan Nasional (BN) dan pembangkang kini rancak membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 dan sudah pasti masing-masing sedang memikirkan manifesto terbaik bagi meraih pengundi kelak.
"Fomca yang mewakili golongan pengguna juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama menyertai suasana pilihan raya ini dengan menyediakan sebuah buku berkaitan tuntutan pengguna iaitu 'Manifesto Tuntutan Pengguna' untuk diambil perhatian oleh semua ahli politik," katanya pada sidang akhbar mengenai buku 'Manifesto Tuntutan Pengguna bagi PRU-13' di sini, hari ini.
Lapan tuntutan yang membabitkan makanan, pengangkutan awam, kesihatan, air, tenaga elektrik, keselamatan, alam sekitar dan perbankan itu diperjelas secara terperinci dalam buku itu.
"Lapan isu ini perlu diberi perhatian dan diambil tindakan oleh semua ahli politik sebelum dan selepas berlangsungnya pilihan raya ke-13 nanti kerana isu-isu berkaitan hak-hak pengguna seringkali tidak ambil tindakan sewajarnya," katanya.
Selain dalam bentuk buku, Fomca juga akan menerbitkan manifesto itu di laman web Fomca di www.fomca.org.my dan orang ramai yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai buku itu boleh menghubungi Fomca di talian 03-78762009 atau 03-78756370.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan