HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Jun 2012

Penyewa BB Plaza dakwa dianiayai UDA

KL TODAY

 


Terkejut dan tidak berpuas hati. Itu yang dirasakan kira-kira 167 peniaga yang menyewa di pusat beli-belah Bukit Bintang Plaza (BB Plaza) apabila mereka diberitahu perlu berpindah keluar daripada bangunan berkenaan sebelum hujung tahun ini.

Meskipun perasaan tidak senang itu sudah dilahirkan dalam satu memorandum dihantar minggu lalu menuntut perbincangan dengan pemilik bangunan, Uda Holdings Bhd (Uda), namun penjelasan syarikat berkenaan pada sesi dialog semalam tetap gagal menggembirakan hati mereka.

Wakil penyewa, Hassan Saad berkata, mereka rasa seperti teraniaya dan tiada keadilan apabila penjelasan Uda seolah-olah putus asa dan mahu menyerahkan bangunan pusat beli-belah itu bagi kerja pembangunan stesen Myrapid Transit (MRT) oleh MRT Corporation.Gambar: Para penyewa yang marah dengan penganiayaan didakwa dilakukan oleh UDA.


“Kami tidak menafikan pentingnya projek ini, ia agenda nasional dan kami tidak menghalang, tetapi penjelasan yang keluar daripada Uda mengejut, minta kami keluar menjelang hujung tahun sedangkan kenyataan MRT Corp sebelum ini mengatakan BB Plaza tak terbabit, hanya sebahagian saja.

“Itu pun kami baca daripada laporan media sebab itu desak perjumpaan (semalam) diadakan untuk tahu duduk perkara sebenar. Kita rasa tak adil kepada penyewa, tapi apa boleh buat.

“Kami berharap Uda sampaikan kepada MRT Corp supaya menangguhkan pembinaan projek sehingga selepas Aidilfitri kerana sedar jika kerja pembinaan dimulakan akan menutup sebahagian besar laluan masuk, ia boleh jejaskan perniagaan kami,” katanya.


BB Plaza, yang merupakan simbol kepada pusat perniagaan Bumiputera di kawasan segitiga emas dijangka akan dirobohkan pada awal tahun depan.“MRT Corp telah memberi kami masa sehingga akhir tahun untuk mengosongkan bangunan.“Notis pengusiran akan dikeluarkan kepada penyewa untuk keluar,” kata Pengarah Urusan UDA Holdings, Ahmad Abu Bakar kepada pemberita selepas satu sesi dialog bersama para penyewa pada Selasa.

Beliau berkata, UDA akan menunggu keputusan daripada Kementerian Kewangan berhubung permohonan oleh Tradewinds (M) Bhd untuk menyertai dalam pembinaan semula bangunan Bukit Bintang Plaza.

Ahmad berkata, UDA telah menerima permohonan rasmi daripada Tradewinds dan beberapa syarikat lain yang berminat untuk menyertai projek itu.


Media pada 8 Jun lalu melaporkan pembinaan My Rapid Transit (MRT) dijamin tidak melibatkan sebarang pengambilalihan atau merobohkan kompleks beli-belah BB Plaza di Bukit Bintang.

Ketika itu, Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp., Amir Mahmood Razak dipetik berkata, fokus utama adalah membina stesen bawah tanah di kawasan itu bagi jajaran Sungai Buloh ke Kajang tanpa menganggu sebarang pembangunan hartanah lain.

Tiada ulasan: