Sebaliknya, Kamaruddin menjelaskan, ketika itu beliau mencuba meleraikan perbalahan melibatkan wakil badan bukan kerajaan (NGO) Himpunan Sedar dan Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (Royalti) sebelum himpunan bermula.
“Saya mendapati wujudnya pelbagai dakwaan menerusi laman sesawang seolah-olah menunjukkan saya yang mencetuskan provokasi sehingga dan terlibat dalam pergaduhan tersebut. Saya menafikannya kerana pergaduhan tersebut berlaku sebelum kedatangan saya dan setelah melihat keadaan itu saya mencuba meredakan kekecohan itu supaya ia tidak berlarutan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Dalam pada itu, Kamaruddin juga menyifatkan dakwaan mengaitkan beliau yang memulakan pergaduhan terhadap Naib Presiden Royalti, Abu Samah Hassan adalah fitnah besar.
Kamaruddin berkata, walaupun ketika itu memang berada di tempat kejadian tetapi tegasnya, beliau tidak dapat melihat secara jelas individu yang menyerang sehingga menyebabkan Abu Samah cedera.
“Setakat ini saya tidak cadang membuat laporan polis berkaitan tuduhan tersebut tetapi tidak akan teragak-agak bertindak sedemikian jika dakwaan itu sudah melampau batas,” katanya.
Kelmarin, kira-kira 5,000 menyertai himpunan melibatkan dua kumpulan NGO di hadapan Kompleks Kota Darul Naim yang masingmasing memperjuangkan hak rakyat dan dalam masa sama lima aktivis Royalti cedera didakwa dipukul.
Himpunan Sedar kelmarin yang diketuai Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) mendesak Kerajaan Negeri bentangkan maklumat peruntukan Kerajaan Pusat yang dibelanjakan dalam menyediakan bekalan air bersih.
Manakala Royalti mengadakan himpunan berkenaan untuk menyerahkan memorandum tuntutan royalti kepada Kerajaan Negeri bagaimanapun perhimpunan berkenaan dicemari kekecohan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan