HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Jun 2012

Unsur Penipuan Punca Wujud Dua Pelan Pembangunan





SHAH ALAM  : Jawatankuasa khas SELCAT telah memulakan siasatan ke atas kontroversi pembangunan sebuah padang di Kelana Jaya yang telah mencetuskan bantahan penduduk dengan pendengaran awamnya hari ini.

Pendengaran awam ini bagi meneliti bagaimana dua buah rancangan tempatan diterbitkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), yang mempunyai maklumat yang bercanggah tentang padang tersebut.

Percanggahan ini menyebabkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) cuba untuk membangunkan padang tersebut di SS7 Kelana Jaya dengan pusat komersial.

Pusat it mempunyai tujuh blok apartmen servis 35 tingkat, kompleks sukan dan pusat perniagaan 15 tingkat terdiri daripada bangunan pejabat dan pusat membeli-belah.

Pada sesi hari ini, seorang Ahli Majlis MBPJ Derek John Fernandez mengesyaki terdapat unsur-unsur penipuan di dalam isu penggunaan tanah padang itu.

Beliau memberitahu terdapat percanggahan cetakan antara Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) yang dikeluarkan Jabatan Perancangan Bandar, MBPJ, dengan cetakan yang dibuat Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) Selangor.

“Ia sangat meragukan kerana tanah tersebut awalnya diwartakan sebagai zon padang dan rekreasi sepertimana yang terdapat dalam cetakan RTPJ 2 salinan JPBD.

“Sebaliknya di dalam cetakan MBPJ ia dikatakan zon komersial dan saya dimaklumkan oleh seorang pegawai ketika ditanya, ianya memang sedia untuk dibangunkan ‘service apartment’.

“Saya sifatkan perkara ini bukan suatu kesilapan teknikal percetakan dan sebagainya.

“Sebaliknya saya percaya ia adalah satu rancangan penipuan dan penyelewengan yang pasti memberi keuntungan kepada pihak tertentu,” tegasnya yang juga merupakan seorang peguam.

Derek juga berkata pindaan demi pindaan yang dilakukan selepas tanah tersebut diwartakan sebagai kawasan lapang dan rekreasi amat meragukan.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan draf pertama dan itulah buku yang sah di sisi undang-undang.

“Persoalannya mengapa ia dipinda berulang kali setelah diluluskan tanpa dibentang semula ke MMKN walaupun selepas diwartakan.

“Ini amat bertentangan dengan undang-undang,” ujarnya di hadapan SELCAT iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT).

Selain Derek, turut memberi keterangan hari ini ialah Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor, Mohd Zaki Ibrahim, Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman serta Penolong Pengarah Kanan Perancang Bandar MBPJ, Faiwos Abdul Hamid.

Tiada ulasan: