Negeri-negeri Pakatan seperti Pulau Pinang
telah berjaya membuktikan kerajaan yang bersih boleh menunjukkan
prestasi yang lebih baik dari kerajaan yang korup.
Oleh Lim Guan Eng
Rakyat Malaysia menjadi semakin gelisah. Persoalannya sama ada kali ini merupakan peluang untuk mewujudkan masa depan dengan penuh integriti dalam kepimpinan atau terus undur ke belakang di mana masa depan anak-anak kita akan terus gelap dengan gejala rasuah sepanjang 50 tahun lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyuarakan keyakinannya bahawa Barisan Nasional (BN) akan menang dalam pilihan raya umum akan datang (PRU23) dengan menyapu bersih kejayaan 14-0.
Jika beliau dan BN berjaya, rakyat pasti merana dengan 5D – Deficits (Defisit), Debts (Hutang), Deceits (Penipuan), Dictatorship (Kuku Besi) dan brain Drain (pengaliran keluar tenaga mahir).
BN menunjukkan keangkuhan dengan menabur wang tunai dan politik wang untuk membeli populariti dan Pakatan Rakyat menerima kemungkinan BN boleh memenangi PRU13 dengan apa cara sekali pun.
Bagaimanapun, implikasi kemenangan 14-0 akan membawa kesan buruk kepada Malaysia terutama penularan kegiatan rasuah yang semakin berleluasa hingga membawa kepada defisit belanjawan dan hutang yang tinggi dengan menggunakan kuasa diktator untuk menindas rakyat.
Keganasan polis yang digunakan terhadap para demonstran pada perhimpunan Bersih menyebabkan rakyat tidak lagi percaya kepada kebebasan polis yang dilihat sebagai alat politik kerajaan diktator BN.
Kadar korupsi di negara ini semakin buruk seperti mana ranking Malaysia pada nombor ke 60 pada Indeks Persepsi Rasuah Transparency International berbanding pada kedudukan di tangga ke 37 pada tahun 2003.
Daripada memberi pinjaman kepada para petani yang menternak lembu, keluarga seorang Menteri yang tidak pernah menternak lembu diberi pinjaman mudah RM250 juta dan kemudian disalahgunakan untuk membeli kondominium.
Kekayaan melampau
Kita juga dapat melihat kekayaan yang melampau di Sarawak dibolot oleh keluarga-keluarga yang rapat dengan pemimpin kerajaan negeri di mana penyelewengan dilakukan secara meluas dan terbuka.
Perlakuan rasuah yang sungguh gawat hanya boleh berkembang subur di bawah kuasa diktator dan ini akan mengakibatan pengaliran keluar lebih ramai tenaga mahir.
Sejak merdeka pada 1957, lebih dua juta rakyat Malaysia telah meninggalkan negara ini. Perubahan dasar dalam pengeluaran visa kerja oleh kerajaan Australia baru-baru ini untuk graduan Australia bagi membolehkan mereka terus bermastautin di Australia untuk tempoh selama dua hingga empat tahun hanya akan memburukkan lagi keadaan ini.
Belanjawan tambahan BN sebanyak RM13.8 bilion akan menambah jangkaan defisit berjumlah RM45.9 bilion dalam defisit belanjawan 2012. Ini akan membawa kepada jumlah defisit kepada RM59.7 bilion, paling tinggi dalam sejarah.
Keadaan ini menjadikan jumlah defisit Malaysia lebih dari 6% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu lebih tinggi dari yang dijangkakan pada awalnya iaitu pada 4.7%.
Kerajaan BN cuba membuktikan tanggungjawabnya dengan peruntukan tambahan sebanyak RM1.5 bilion untuk setiap Ahli Parlimen BN dari bajet tambahan ini manakala Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat tidak menerima satu sen pun.
Strategi yang digunakan untuk mendapat wang dari pembayar cukai untuk berbelanja dengan cara yang tidak bertanggungjawab bukan perkara baru bagi BN.
BN memohon peruntukan dana tambahan sebanyak RM13.2 bilion pada Jun 2011 dan tambahan dana lagi sebanyak RM10.3 bilion pada Mac 2012 untuk Belanjawan 2011.
Hutang negara
Sehingga setakat 31 Mac 2012, hutang kerajaan ialah sebanyak RM470 bilion. Jika kita mengambil kira defisit yang dijangka dari Belanjawan 2012, hutang kerajaan kita dengan mudah melebihi RM500 bilion pada penghujung tahun 2012.
Jumlah hutang ini tidak termasuk tanggungan luar jangka yang tidak dicatat dalam akaun berjumlah RM110 bilion. Jika jumlah tanggungan luar jangka ini diambil kira maka hutang kita meningkat kepada lebih RM600 bilion.
Kali terakhir negara mempunyai belanjawan lebihan ialah pada tahun 1997 di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Sejak 1997, kita telah mengalami defisit belanjawan selama 15 tahun berturut-turut maka dengan sebab itu kita mahu Anwar menjadi Perdana Menteri yang baru untuk mengatasi masalah defisit belanjawan kepada lebihan belanjawan.
Hutang kerajaan telah meningkat lima kali dari RM89 bilion pada 1997 kepada RM470 bilion pada Mac 2012 berbanding dengan peningkatan hanya sebanyak tiga kali dalam KDNK.
Berbanding prestasi BN yang lemah dalam kewangan, kerajaan-kerajaan negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat telah mencatat lebihan demi lebihan setiap tahun dan malah mampu untuk mengurangkan jumlah hutang.
Kerajaan negeri Pulau Pinang misalnya berjaya mengurangkan jumlah hutang sebanyak 95 peratus atau RM600 juta; dari RM630 juta pada 8 Mac 2008 kepada hanya RM30 juta pada penghujung 2011.
Semua ini dicapai bukan dengan menggunakan cara tipu daya BN tetapi dengan mentadbir negeri dengan bersih melalui urus tadbir CAP (kompeten, kebertanggungjawaban dan ketelusan).
Berbanding pada tahun 2011, Sarawak menanggung hutang sekurang-kurangnya RM4.3 bilion meliputi hutang secara langsung dan tidak langsung dengan Kerajaan Persekutuan dan sektor swasta.
Jelas sistem tender terbuka yang kompetitif, pendedahan maklumat kontrak kerajaan dengan sektor swasta, pengisytiharan aset kepada umum oleh firma perakauan antarabangsa dan kelulusan Akta Kebebasan Maklumat telah berjaya memerangi rasuah.
Negeri-negeri Pakatan seperti Pulau Pinang telah berjaya membuktikan kerajaan yang bersih boleh menunjukkan prestasi yang lebih baik dari kerajaan yang korup.
Penulis ialah Ketua Menteri Pulau Pinang dan juga Setiausaha Agung DAP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan