HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Jun 2012

DAP anti Islam hanya propaganda - Dr Mazlee

Muhammad Faizal,
 

SHAH ALAM: Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malek berpendapat hudud tidak boleh dilihat dari sudut hukuman semata-mata tetapi perlu melihat matlamatnya secara menyeluruh.

Beliau yang juga turut mengajar subjek tersebut di UIAM berkata, objektif yang ingin dicapai melalui hudud adalah ingin menjadikan sebuah masyarakat yang bersih dan baik.

"Saya melihat menariknya hudud itu bukan dilihat kepada hukumannya tetapi dari sudut objektif yang mahukan sebuah masyarakat yang bersih tanpa jenayah, rompak, rogol, tuduhan zina mahupun memaparkan gambar-gambar orang berzina di dada akhbar dengan niat untuk memfitnah," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam program Wacana II: Adakah Dasar DAP Mengancam Islam anjuran Roketkini.com bersama Lim Guan Eng di sini malam tadi.

Tambahnya lagi, oleh kerana mungkin masyarakat berbilang kaum di negara ini sukar menerima perlaksanaan hudud, namun ianya boleh dilakukan dengan melaksanakan objektif-objektif yang terkandung di dalam hudud itu sendiri.

"Bila kita melaksanakan objektif hudud itu seperti meningkatkan keadilan, pemerintahan yang telus, banteras rasuah mahupun meningkatkan intergriti pihak berkuasa dan undang-undang.

"Dengan secara tidak langsung objektif yang dilaksanakan dalam hudud akan dapat dicapai tanpa perlu melaksanakan hukum tersebut," katanya.

Dalam pada itu beliau melahirkan rasa kesal dengan pihak tertentu khususnya di kalangan Melayu yang sering menuduh DAP sebagai anti Islam.

"Persepsi propaganda ini dimainkan sejak dulu lagi, iaitu semasa DAP belum menyertai Pakatan Rakyat yang berniat untuk menimbulkan kerisauan terhadap Islam dan orang melayu.

"DAP anti Islam hanyalah dari sudut pandangan Umno sahaja bukanya orang lain, malah MCA juga ada mengeluarkan kenyataan yang tegas mengenai Islam tapi ia tidak dilihat sebagai anti Islam kepada Umno," katanya.

Tambahnya lagi, jika dilihat kepada perlaksanaan dan dasar-dasar DAP sehingga kini tidak ada suatu pun yang mengancam Islam apatah lagi bukti yang dilakukan oleh parti tersebut di Pulau Pinang.

Tiada ulasan: