Walaupun agak janggal mengaitkan artis dengan Pas, namun ia bukanlah sesuatu yang baru, ekoran sebelum ini beberapa nama sudah dikaitkan dengan Pas, antaranya, Yassin Brothers, Ringgo Arrow, Bob Lokman, Azmil Mustafa dan Akhil Hayy.
Ketika ditanya trend artis sertai parti politik, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, ia suatu perkembangan yang baik kerana Pas adalah sebuah parti politik yang terbuka untuk semua.
“Artis sekarang lebih berfikiran terbuka dan tidak takut hilang peminat gara-gara mereka memilih Pas sebagai parti pilihan, malah kita juga ada selebriti politik yang diibaratkan sebagai orang ternama dalam politik yang disenangi ramai iaitu Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan artis yang menyatakan sokongan pada Pas menganggap Nik Abdul Aziz sebagai ikon mereka dan menyanjung keperibadian beliau.
Bagaimana pun, Mahfuz menafikan Pas mempergunakan golongan artis untuk menarik golongan belia, khususnya pengundi muda untuk mendekati parti itu, terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
“Apa yang berlaku ialah selebriti politik (Nik Abdul Aziz) berjaya tarik golongan artis untuk mendekati Pas. Selain timbul kesedaran politik yang tinggi dalam diri masing-masing, ia bukan paksaan tetapi mereka lakukan secara sukarela,” katanya.
Mahfuz berkata, pembabitan beberapa artis sebelum ini dalam parti politik membuktikan kerjaya mereka tidak terjejas, sebaliknya pendekatan mereka berubah kepada lebih Islamik.
“Artis sekarang tak takut umum mereka sokong siapa, mereka tak bimbang peluang dalam industri hiburan terjejas. Memang ramai yang sertai atau sokong Pas dan peminat tetap minat mereka,” katanya.
Menurutnya, Pas mendekati semua golongan dalam kempennya, termasuk artis.
Malah diwujudkan lajnah kebudayaan dan keseniaan untuk mendekati golongan itu secara berkesan.
“Kita tidak sekat hiburan dalam Pas. Artis yang cenderung dengan Pas boleh berdakwah dan giat dalam seni secara Islamik. Mereka sering dijemput memeriahkan ceramah untuk berkongsi penghijrahan selain membuat persembahan berlandaskan Islam,” katanya.
Mahfuz berkata, industri hiburan dan politik saling memerlukan dan melengkapi antara satu sama lain, dengan cara tersendiri berlandaskan pendekatan Islamik
1 ulasan:
Kalau PAS gunakan artis untuk tarik pengundi muda tidak menjadi masaalah. Artis2 yang masuk PAS adalah artis2 yang tidak terpalit dengan skandal atau perangai buruk.Peribadi mereka juga adalah baik.Kita tak gunakan beruk dan lembu yang tonggeng buntut, yang baling batu, yang mencarut dan kaki arak atau kaki pukul dan kaki k-pop untuk tarik pengundi muda macam yang terdapat sebelah sana.
Catat Ulasan