HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Jun 2012

RM3 bilion milik Murad,bukan Anwar

KL TODAY

 


Kontroversi pemilikan aset sejumlah RM3 bilion yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin rumit apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula mendakwa nilai aset itu sebenarnya milik bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid.

Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli mendakwa Abdul Malik membuat akuan bersumpah (SD) palsu kira-kira 13 tahun lalu bagi mengaitkan Anwar yang juga Ketua Pembangkang dalam isu berkenaan.

Dakwa Mohd Rafizi lagi, berdasarkan semakan peribadinya mendapati Abdul Khalid menggunakan kedudukan beliau sebagai Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia untuk mengumpul kekayaan.

“Siasatan saya menunjukkan beliau mempunyai hubungan dengan banyak syarikat yang mempunyai kepentingan dengan Bank Negara dan industri perbankan di Malaysia.

“Ini menimbulkan tanda tanya sama ada Abdul Murad terlibat dalam pelbagai salah laku dan penyelewengan serta menggunakan kedudukan beliau untuk mengumpul harta. Saya mengajukan pendapat bahawa dakwaan Abdul Khalid mengenai kewujudan akaun induk yang memegang hartanah dan saham sebenarnya merujuk kepada pegangan beliau sendiri,” katanya menerusi kenyataan media di sini, Rabu.

Sebelum ini Abdul Murad mengesahkan membuat akuan bersumpah mengenai akaun RM3 bilion yang didakwanya membabitkan Anwar pada 1999.

Abdul Murad dilaporkan mendakwa Anwar mengawal 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion.

Bagaimanapun Mohd Rafizi menimbulkan keraguan berhubung akuan bersumpah itu kerana tidak dilampirkan bukti kukuh untuk mengaitkan Ketua Pembangkang itu.

“Perakuan bersumpah beliau tidak memberikan fakta dan senarai semua harta yang didakwanya dimiliki oleh Datuk Seri Anwar. Sebaliknya, ia hanyalah dakwaan dengan menyebut beberapa nama yang kemudiannya dikaitkan dengan Anwar.

“Jika rekod beliau sendiri pun tercalar dengan dakwaan rasuah dan salahguna kuasa, ini menimbulkan keraguan bahawa perakuan bersumpah yang dibuat beliau adalah tidak benar, terutamanya apabila beliau tidak menyenaraikan harta atau saham yang kononnya dimiliki oleh Datuk Seri Anwar,” katanya.

Tiada ulasan: