HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Jun 2012

UMNO-BN mahu ‘beli’ undi pemandu teksi?



Oleh Adil Mat Selamat

Macam-macam cara Datuk Seri Najib Razak lakukan untuk ‘membeli’ undi dengan menyalahgunakan wang rakyat.

Selepas golongan suri rumah ditawarkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), rakyat biasa menerusi Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), pelajar sekolah menerusi Susu 1Malaysia, mahasiswa dengan Baucer Buku 1Malaysia, kini pemandu teksi pula dilayur menerusi Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1Ma) dengan satu lagi peruntukan hasil cukai rakyat dan sumber negara bernilai RM35 juta.

Wang rakyat ini akan digunakan untuk pakej pembiayaan baucar subsidi tayar sebanyak RM520 bagi penggantian empat tayar untuk tempoh dua tahun. Tidak cukup dengan itu, Najib sendiri telah berjanji untuk menamatkan monopoli pemilikan lesen dan permit teksi yang sudah berpuluh tahun membelenggu nasib pemandu teksi khususnya di Lembah Klang.

Janji yang sangsi

Yang peliknya tidak pula dinyatakan pihak mana yang telah memonopoli permit teksi selama ini. Adakah beliau sengaja tidak menyebutnya kerana ingin menyembunyikan penglibatan ramai pemimpin UMNO-Barisan Nasional serta syarikat kroni dalam kes ini?

Maka kita serahkan budi bicara pemandu teksi dalam hal ini, moga-moga mereka sedar yang mana gula-gula atau perangkap Najib dengan yang mana lebih ikhlas seperti yang termaktub dalam buku Jingga Pakatan Rakyat.

Pakatan sedar apa yang sebenarnya dimahukan oleh pemandu teksi. Bukan sekadar tayar, lampu atau cermin kereta. Yang mereka tuntut selama ini ialah hak pemilikan teksi individu. Kerana tanpa permit itu, para pemandu teksi hanyalah pekerja kepada syarikat-syarikat yang diberi habuan menguasai pemilikan teksi.

Pakatan Rakyat menerusi Buku Jingga telah berikrar lebih awal untuk menghapuskan pemberian permit  teksi kepada syarikat kroni, sebaliknya akan memberikan secara terus kepada pemohon iaitu pemilik teksi.

Ini jelas bukan janji kosong, sebaliknya dasar yang telus dan jitu. Tapi malang, Najib tidak berani dan tidak mampu memberi seperti mana Pakatan Rakyat ingin berikan, di sini kita boleh nilai yang mana jujur dan yang mana tidak.

Dalam hal janji air liur Najib ini, ada lagi yang pelik, secara tiba-tiba tahun ini menjadi tahun kebajikan bagi kerajaan Barisan Nasional. Sudah kerap kita utarakan isu di mana kesemua pemberian wang atau apa jua bantuan secara ‘one off ’ ini tidak ada dinyatakan secara terperinci dalam belanjawan 2012 yang lalu. Jadi kita musykil sekali dari mana datangnya wang berbilion ringgit ini.

Jika dihitung anggaran jumlah pemberian BR1M yang berjumlah sekitar RM 1.92 billion, KR1M sekitar RM 40 juta, Skim Susu 1Malaysia berjumlah RM 4 juta, Baucer Buku 1Malaysia sekitar RM 260 juta, TR1Ma berjumlah RM 35 juta dan Klinik 1Malaysia berjumlah RM 10 juta setakat Januari 2010, kesemua jumlahnya sudah mencecah sekitar RM 2.269 billion.

Ini tidak termasuk kes rasuah wang rakyat untuk syarikat kroni NFC berjumlah RM 250 juta dan lain-lain ketirisan lagi.

Reputasi yang meragukan

Nampaknya, wang rakyat telah diurus oleh pemimpin yang sangat boros dan cuai. Ini adalah berpunca dari sikap yang gila untuk kekal berkuasa. Inikah model pemimpin yang dikatakan membela masa depan rakyat?

Kita bimbang menerusi kepimpinan yang sedia ada hari ini, kita sedang memperjudikan nasib kita ditangan mereka yang tidak amanah dan korup. Oleh itu, jangan sesekali kita terpesona dengan lakonan pemimpin yang sudah kemaruk kuasa.

Para pemandu teksi juga sedar siapa yang sebenarnya membela nasib mereka. Mereka sudah berpuluh tahun menanti janji-janji BN yang amat jarang ditunaikan.

Berikan sokongan kepada parti yang terbukti mengamalkan ketelusan, cekap dan bertanggungjawab. Pakatan Rakyat sedia menerima mandat rakyat dalam pilihan raya umum akan datang. – Roketkini.com

Tiada ulasan: