Majlis Keselamatan Negara (MKN) disaran mewujudkan perkhidmatan rawatan mangsa kemalangan di tempat kejadian mengikut jantina atau pemekaan gender.
  
Pakar Perunding Kanan Traumatologi dan Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur Datuk Seri Prof Abu Hassan Asaari Abdullah berkata cadangan itu bertujuan memberi keutamaan privasi kepada mangsa kemalangan yang masih trauma.
  
Beliau berkata kaedah perkhidmatan rawatan seumpama itu merupakan cara  yang lebih bersifat kemanusiaan dan prihatin terhadap mangsa kemalangan.
  
"Perlunya kepada budaya memberi perawatan yang lebih kemanusiaan bagi memastikan mayat mangsa kemalangan atau yang cedera tidak lagi bergelimpangan atas jalan raya dan mewujudkan konsep perawatan yang mempunyai privasi dengan memberi konsep perawatan pemekaan gender," katanya kepada pemberita di Genting Highlands semalam.
  
Beliau berkata demikian selepas seminar dua hari 'Analisis Kritikal Pelbagai  Agensi dan Antara Jabatan Mengenai Kemalangan Bas (Multiagencies and Interdepartmental Critical Analysis of Bus Accidents), yang berakhir semalam.

Seminar itu anjuran MKN, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Pertubuhan Traumatologi dan Perubatan Kecemasan Malaysia serta pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Dalam Negeri.- Bernama