Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bercadang untuk melantik beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di Sarawak sebagai pemerhati pada pilihan raya umum ke-13.
  
Timbalan Pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata setakat ini empat NGO telah dikenal pasti untuk berbuat demikian di zon Kuching iaitu Persatuan Melayu Sarawak, Persatuan Orang Ulu, Persatuan Belia Islam Nasional cawangan Sarawak dan Persatuan Belia Sarawak.

"SPR akan berjumpa dengan beberapa buah NGO di kawasan Sibu dan kawasan Miri untuk mengenal pasti dan melantik merekalah kalau mereka bersetuju," katanya dalam sidang akhbar selepas taklimat untuk Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya di Kuching hari ini.
  
Katanya pertubuhan yang terpilih itu adalah mereka yang terbukti tidak berpolitik serta tidak memihak kepada mana-mana parti politik.
  
Di Sabah sebanyak tiga pertubuhan telah ditawar menjadi pemantau pilihan raya umum iaitu Majlis Belia Sabah, Persatuan Sejarah Sabah dan Persatuan Hak Asasi Manusia (PROHAM) cawangan Sabah, katanya.

Selain itu katanya, SPR turut melantik lima NGO di Kuala Lumpur untuk menjalankan tanggungjawab tersebut iaitu Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas), Merdeka Centre, Asian Strategy and Leadership Institute (Asli), Transparency International Malaysia (TI-M) dan PROHAM.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Wan Ahmad berkata sebanyak 64 pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya telah ditubuh di Sarawak setakat ini dan jumlah itu akan ditambah berdasarkan permintaan pegawai pengurus pilihan raya bagi setiap kawasan parlimen.

Setiap pasukan terdiri daripada seorang pegawai SPR, seorang pegawai polis berpangkat sekurang-kurangnya inspektor, seorang pegawai pihak berkuasa tempatan
(PBT) dan seorang wakil untuk setiap seorang calon pilihan raya.
  
Katanya pasukan itu diamanah untuk memastikan peraturan pilihan raya dipatuhi oleh parti-parti politik yang bertanding.- Bernama