HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Jun 2012

Arab Spring: Mahathir gabra, cemas Umno-BN kalah teruk dalam PRU-13


DETIK DAILY

Sejak muktahir ini, Mahathir Mohamad semakin galak memberikan kenyataan untuk membantu Najib Tun Razak mempertahankan kuasa. Tetapi kenyataan lebih menggambarkan "ketakutan" dan "kebimbangan" beliau menongkah arus politik baru yang bakal melakar sejarah. Mahathir dengan sengaja memain dan memutarkan isu 'Arab Spring' bagi menakut-nakutkan rakyat melakukan perubahan dalam PRU-13 tidak lama lagi.


Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih dibayangi kisah silam kerana memberi kenyataan usaha menjatuhkan kerajaan ala 'Arab Spring' tidak seharusnya berlaku di negara ini. Mahathir jelas tidak dapat menerima kejatuhan Hosni Mubarak sedangkan era bekas Presiden Mesir itu jelas menunjukkan kebangkitan rakyat, lapor Sinar Harian Online.

 
"Kita dapat melihat kebangkitan rakyat melalui Perhimpunan Bersih 3.0 tempoh hari, ini cara rakyat suarakan pendapat secara aman," kata Anwar. Mahathir tidak perlu menyamakan cara kejatuhan bekas pemimpin Mesir itu kerana rakyat mampu bertindak relevan dan semakin bijak menilai sesuatu isu.

Difahamkan, dalam satu kenyataan 25 Jun lalu, Dr Mahathir berkata, usaha menjatuhkan kerajaan ala 'Arab Spring' tidak seharusnya berlaku di negara ini kerana Malaysia jelas mempunyai sistem demokrasi lebih baik berbanding negara Timur Tengah. Mahathir berkata, jika perbandingan demokrasi antara Malaysia dan negara Arab dibuat, jelas membuktikan negara mendahulukan kepentingan rakyat dalam setiap perkara.


"Arab Spring ini adalah pemberontakan rakyat menjatuhkan kerajaan di negara tersebut, jika kita bandingkan negara-negara Arab ini, mereka tidak pernah demokratik, dan pemimpin mereka menerajui negara untuk kepentingan diri dan tidak memberi keutamaan kepada rakyat.

"Rakyat semakin menderita, kadar peratusan kemiskinan meningkat, malahan ada lulusan universiti tidak mendapat pekerjaan yang seterusnya menjadi punca rakyat memberontak," katanya. Jika begitu keyakinan Mahathir, dia tidak perlu bimbang kerana demokrasi di sini jauh lebih sihat daripada di dunia Arab. Kenapa Mahathir harus gabra? Mengapa pula Mahathir berasa cemas, jika demokrasi sebelah sini lebih baik?

Tiada ulasan: