HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Jun 2012

Himpunan Hijau: Harapan baru rakyat Pahang

Khairil Abdul Rahim,
TEMERLOH: PAS Pahang menganjurkan Himpunan Hijau Ke Putrajaya pada 1 Julai ini bagi mengajak seluruh rakyat negeri ini supaya bangkit membuat perubahan politik pada pilihan raya umum (PRU) ke 13 akan datang.
Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, program yang bertemakan ‘Harapan Baru Pahang’ itu akan diadakan di tapak Kompleks PAS Pahang, Kerdau dekat sini.

Tambahnya, program lanjutan daripada himpunan raksasa I Jun di Alor Setar tempoh hari, akan bermula daripada jam 3.00 petang sehinggalah ke tengah malam dengan pelbagai acara telah disusun.

“Program bermula dengan Talk Show anjuran Dewan Muslimat yang menampilkan selebriti terkenal Aishah bersama Setiausaha Majlis Syura PAS Ustaz Nik Zawawi Saleh, kemudian diikuti majlis santai anjuran Dewan Pemuda yang menampilkan penyanyi Pak Long dan kumpulan UNIC.

“Pada waktu yang sama 100 kumpulan bermotosikal Pemuda ARC akan berkonvoi dari Taman Kubang Gajah ke tapak program. PAS mahu menonjolkan model himpunan paling baik untuk dinilai sehingga rakyat boleh membanding, meneliti dan membuat keputusan antara dua himpunan anjuran Umno dan PAS,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat menjelaskan pada permulaan malam akan diadakan Solat Maghrib, Solat Hajat dan munajat di dataran tersebut yang akan dipimpin oleh Dewan Ulamak PAS Pahang.

Tambahnya, himpunan tersebut menjadi satu medan mendekatkan diri sebagai makhluk Allah dengan rayuan, bermunajat dan memohon kepada Allah agar kemenangan Islam dapat dicapai dalam PRU ke 13.

“Pada ceramah sebelah malam akan berlaku satu kejutan dengan perisytiharan tokoh tertentu yang akan menyertai PAS Pahang serta ikrar perjuangan sebagai satu perisytiharan bahawa PAS dan Pakatan Rakyat sudah bersedia menggalas cabaran menggantikan Umno dan BN di negeri ini.

“Turut akan berucap ialah Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dan Aishah manakala Tuan Guru Presiden akan menyampaikan amanat di kemuncak acara,” terangnya dalam kenyataan media di sini.

Mengenai kehadiran, beliau berkata PAS Pahang mensasarkan sekurang-kurangnya 10,000 ahli dan penyokong PAS namun berdasarkan komitmen PAS kawasan-kawasan perhimpinan boleh menjangkau 20,000 orang.

Tambahnya lagi, perhimpunan ini menjadi syiar kebangkitan rakyat Pahang bersama PAS di samping menyemarakkan lagi semangat dan daya juang ahli-ahlinya sebagai titik tolak merealisasikan hasrat menuju ke Wisma Sri Pahang.

Mengenai pemilihan Kerdau, Tuan Ibrahim berkata, ini bertepatan dengan PAS Pahang yang mula-mula ditubuhkan di situ oleh anak Kerdau sendiri iaitu Allahyarham Mohd Yasin Saleh.

Tiada ulasan: