Oleh Aedi Asri
KUALA LUMPUR: Pertama kali dalam sejarah negara ada Ahli Parlimen (MP) meminta rakyatnya dihukum bunuh disebabkan perbezaan ideologi politik.
Perkara ini terjadi semasa Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz dari Barisan Nasional dalam ucapannya di Dewan Rakyat semalam meminta Pengerusi Bersama Gabungan Menuntut Pilihan Raya Adil dan Bersih (Bersih), Datuk Ambiga Sreenevasan digantung sampai mati kerana didakwa mahu menggulingkan kerajaan.
Mohamad menuduh Ambiga membuat khianat dan ingin menjatuhkan kerajaan melalui perhimpunan Bersih 28 April lalu.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kenyataan itu bersifat hasutan dan berbaur perkauman, serta boleh mengancam nyawa Ambiga.
“Belum pernah dalam sejarah, ada Ahli Parlimen minta seorang warganegara dibunuh.
“Adakah ini cara Umno BN kendalikan isu hak dan kebebasan?” soalnya lagi.
Tambah Guan Eng, kenyataan itu sangat serius dan tidak boleh diterima, justeru tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
Kata beliau, pihaknya tidak mahu membuang masa meminta Aziz menarik balik kenyataan tersebut tetapi mahu semua wakilnya membuat laporan polis agar Aziz dapat disiasat sewajarnya.
Menurutnya, laporan polis akan dibuat esok namun belum dinyatakan di balai polis mana.
“Ini bukan kali pertama, sebelum ini ada senaman punggung dan buka gerai di hadapan rumahnya.
“Sangat jelas Ambiga jadi sasaran kerana beliau seorang wanita India beragama Hindu padahal beliau hanya Pengerusi Bersama Bersih dan perhimpunan itu dianjur oleh banyak badan bukan kerajaan (NGO),” jelasnya lagi.
Mengecam kenyataan itu sebagai ekstrem, kata Guan Eng, beliau tidak ingin membuang masa meminta Mohamad untuk meminta maaf dan menarik balik kenyataan itu.
“Sebab itu kita akan buat laporan polis esok dan berharap pihak berkuasa akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Sebelum ini, Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) mengadakan senaman punggung di hadapan rumah Ambiga di Bukit Damansara, kerana membantah penglibatan beliau dalam perhimpunan Bersih 3.0.
Pada 10 Mei lalu, Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) membuka gerai burger di hadapan rumah beliau, kononnya untuk membela nasib peniaga yang mendakwa perhimpunan Bersih 3.0 merugikan mereka.
Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang itu menjelaskan, Mohamad Aziz tidak mempunyai kekebalan walaupun membuat ancaman itu di Parlimen.
“Menurut artikel 63 Perlembagaan Persekutuan, ada empat perkara yang dikecualikan (dari kekebalan), iaitu soal raja-raja Melayu, Artikel 152, Artikel 153 dan hak kewarganegaraan,” jelasnya.
Hadir sama di sidang media itu adalah Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, MP Bakri, Er Teck Hwa dan MP Jelutong,Jeff Ooi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan