Harakahdaily, |
Ketua Penerangan, Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor dalam kenyataannya berkata, tidak ada gunanya kerajaan ‘bermain politik’ dengan rakyat dengan pengumuman menghapuskan ISA tetapi Kem Kamunting masih beroperasi seperti biasa manakala tahanan di dalamnya tidak dibebaskan.
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), kata Riduan, memandang serius kes mogok lapar yang dilakukan oleh tahanan ISA bagi menuntut pembebasan mereka.
Setakat ini seramai 9 orang tahanan telah melancarkan mogok lapar bagi mendesak kerajaan membebaskan mereka dari tahanan itu.
Bagi DPPM, isu ini perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan memandangkan implikasinya amat berat terhadap imej negara ini.
Ia membabitkan hak asasi dan kerajaan bertanggungjawab mendengar segala keluhan dan permintaan tahanan terbabit.
Menurut beliau, sejak bocornya maklumat dari dalam kem bahawa ada tahanan yang diseksa ala Guantamo secara luar perikemanusiaan, ISA semakin dipertikaikan banyak pihak.
"DPPM bimbang kemungkinan tahanan ISA sekarang diseksa dengan modus operandi yang sama sehingga mereka terpaksa melakukan mogok lapar kerana tidak tahan lagi dengan seksaan yang mereka terima," katanya.
ISA sudah diterima oleh rakyat di negara ini sebagai akta zalim yang meragut hak tahanan.
Mereka dinafikan untuk perbicaraan yang adil di samping seksaan mental dan fizikal yang keterlaluan, kata Riduan (gambar).
Bahkan, kata beliau, kerajaan telah mengumumkan untuk memansuhkan ISA dengan digantikan dengan dua undang-undang baru di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan bagi mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah.
Justeru, amat wajar bagi kerajaan membebaskan tahanan itu sekarang tanpa ada apa-apa syarat dan tekanan.
Apa yang dibimbangi sekiranya ada tahanan yang melancarkan mogok lapar ini menderita sakit atau mati semasa dalam tahanan.
Sudah tentu kes ini nanti akan lebih rumit dan sukar bagi kerajaan menjawab isu ini diperingkat antarabangsa, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan