Harakahdaily, |
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan semua agensi kerajaan sepatutnya menjadi pemelihara demokrasi yang murni dan adil kerana pada hakikatnya mereka adalah pemegang amanah rakyat.
Sehubungan itu, Teras Pengupayaan Melayu (Teras) menuntut agar Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) yang sudah terlalu hampir akan diadakan dijamin sebagai PRU yang bebas dan adil demi menjaga maruah integriti negara di mata dunia.
“SPR sepatutnya benar-benar menunjukkan ia bebas dari sebarang pengaruh kerajaan yang diperintah oleh parti, ia juga hendaklah mengawal agar semua agensi kerajaan tidak disalah guna untuk parti politik sama ada secara langsung atau tidak langsung,” kata Presiden Teras, Mohd Azmi Abdul Hamid.
Sehingga ini, ujarnya Teras mendapati tuntutan PRU yang bersih dan adil oleh pelbagai pihak tidak mendapat layanan yang sewajarnya sedangkan ia sangat penting untuk memastikan proses pilihan raya itu sendiri adalah telus dan berintegriti.
Menurutnya, apabila bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengatakan perubahan stuktural perlu dilakukan bermakna beliau mengaku bahawa ada perkara asas dalam proses pilihan raya yang tidak betul.
Justeru, kata beliau Teras berpendirian bahawa selagi pilihan raya dilaksana dengan cara manipulasi agensi kerajaan dan mengguna peruntukan wang awam untuk tujuan mempengaruhi pengundi, ia termasuk dalam erti pilihan raya yang kotor.
“Kami mendapati amalan kerajaan yang sewenangnya mengguna agensi awam seperti sekolah dan premis kerajaan atas nama acara rasmi tetapi jelas berkempen untuk parti politik, kursus-kursus rasmi dan media awam yang terang- terangan melancarkan serangan ke atas parti lawan jelas menunjukkan pilihanraya di negara ini bukan di medan padang yang rata.
“Jika SPR tidak melihat ini sebagai penyalahgunaan kuasa untuk berkempen maka tidak harus disalahkan kenapa tuntutan Bersih menjadi sangat lantang,” katanya dalam satu kenyataan.
Padahal, ujar beliau apa yang dituntut oleh Bersih betapapun dianggap kecil dan teknikal, namun ia tetap tuntutan yang berasas.
Oleh itu, katanya PRU13 yang jelas akan menjadi kayu ukur bukan sahaja kepada demokrasi yang diamalkan oleh negara tetapi juga kepada keyakinan rakyat bahawa kerajaan yang bakal dibentuk bukan kerajaan yang tertegak atas asas penipuan dan penyelewengan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan