HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Disember 2012

Mangsa banjir terima RM500

KL TODAY

 

Rantau Panjang: Setiap keluarga yang berpindah ke pusat pemindahan rasmi akibat banjir akan diberikan bantuan RM500 oleh Kerajaan Pusat tanpa mengira latar belakang mereka termasuk fahaman politik. 

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, berkata ia adalah komitmen kerajaan Pusat dalam membantu meringankan beban rakyat selain menepati janji mendahulukan rakyat.

“Seperti sebelum ini, bantuan RM500 akan diberikan kepada setiap keluarga mangsa banjir dan ia akan diteruskan tanpa mengira bangsa serta fahaman politik. Untuk menikmati bantuan ini, mangsa banjir hendaklah yang berpindah ke pusat pemindahan disediakan selain mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Wang ehsan

“Saya sudah mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) segera menyediakan bantuan ini sebaik mangsa kembali ke rumah masing-masing apabila keadaan pulih sepenuhnya nanti. Bantuan jangan lama (lambat) sangat, seminggu dua harus sampai kepada mangsa terbabit,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, di sini semalam. Turut serta isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau yang turut menyampaikan bantuan serta bertanya khabar mangsa banjir di sekolah berkenaan yang setakat semalam menempatkan 915 penduduk dari 317 keluarga, berkata mangsa banjir di Kelantan juga akan diberikan bantuan wang ehsan sebaik Jawatankuasa Wang Ehsan negeri melakukan penilaian dan mengumpul maklumat diperlukan.

Timbalan Perdana Menteri juga menasihatkan penduduk yang kehilangan hasil pertanian serta ternakan akibat bencana itu supaya menghubungi Jabatan Pertanian untuk bancian dan taksiran ganti rugi.

Ketika melawat lebih 2,000 mangsa banjir di pusat pemindahan Sekolah Menengah Bukit Mentok, Kemaman, Terengganu, Muhyiddin meminta ahli Barisan Nasional (BN) serta pertubuhan sukarela turun padang memberi bantuan kepada mangsa bencana berkenaan.
Bantu bersih rumah

“Bila mangsa balik ke rumah, bukan saja badan sukarela, pemimpin politik BN, ahli parti perlu turun bantu bersihkan rumah mereka, tolong baiki kerosakan. Kita bantu mereka yang perlukan bantuan, ini komitmen kerajaan untuk bantu, tiada pilih bulu, tiada pilih kasih, bantuan untuk pastikan semua mangsa selamat,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri turut meminta penduduk di kawasan bencana mengikut arahan pihak berkuasa untuk berpindah bagi mengelak kejadian tidak diingini selain menasihatkan mereka berhati-hati dan menjaga keluarga terutama kanak-kanak ketika musim banjir.

Tiada ulasan: