SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad adalah salah seorang
individu yang harus dipertanggungjawabkan di atas kewujudan sebuah pusat
hiburan yang beroperasi secara haram di bandar tersebut selain Menteri
Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Menurut Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris, sikap liberal yang
ditonjolkan Khalid telah mengundang kepada penularan pelbagai budaya
yang tidak sihat di Shah Alam yang diketahui umum majoriti penduduknya
beragama Islam.
“Pada
saya, yang pertama sekali harus bertanggungjawab adalah Menteri Besar.
Menteri Besar harus bertanggungjawab. Yang kedua, yang lebih
bertanggungjawab adalah Khalid Samad. Dia ini begitu liberal..dia tak
kisah.
“Dia bawa bendera PAS yang kononnya satu parti yang memperjuangkan
Islam, dalam masa yang sama di Shah Alam, kilang arak dia boleh pergi
lawat,” ujar beliau ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Malah, beliau turut mendakwa Pakatan Rakyat (PR) tidak setanding dengan
BN dari segi kredibilitinya untuk mentadbir negeri yang telah terbukti
hasilnya.
Justeru beliau menyeru pengundi-pengundi di negeri Selangor terutamanya
di Shah Alam supaya menolak Khalid pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)
nanti.
“Pada saya sekarang ini pengundi harus menghukum mereka (Pakatan)
ini..mereka ini tak layak digelarkan sebagai pemimpin. Kerajaan BN buat
masa ini memimpin negara ini dengan penuh dedikasi dan berpengalaman,"
katanya.
“Jadi
kita desak betul-betul, Khalid Samad harus dipertanggungjawabkan. Saya
menyeru kepada pengundi-pengundi di Shah Alam, tumbangkan Khalid
Samad..inilah pengkhianat sebenar-benarnya pengkhianat dalam perjuangan
orang Islam dan juga Melayu,” tegas beliau.
Selain itu, beliau juga akan memastikan agar ahli-ahli Perkasa yang
bakal mengundi di Shah Alam pada PRU13 nanti tidak akan mengundi
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor itu.
“Kita (Perkasa) ada ahli di Shah Alam, dan saya akan pastikan ahli-ahli
kita tidak akan mengundi calon-calon PAS terutamanya Khalid Samad,”
katanya.
Sedih dengan perkembangan tersebut, Irwan tidak menolak kemungkinan
bahawa ia adalah salah satu cara tersirat PR untuk mengusir komuniti
majoriti Melayu keluar daripada Shah Alam selain menyediakan rumah pada
harga yang mahal di bandar itu.
“Selama
ini, Shah Alam adalah satu kawasan yang aman untuk diduduki..Boleh
dikatakan kawasan yang tidak sibuk, ia adalah kawasan yang baik (jadi)
mengapa perlu dicemari dengan kelab malam ini.
“Jadi inilah mungkin cara mereka (Pakatan) selain daripada menyediakan
rumah yang mahal, mungkin ini juga salah satu cara mereka menghalau
orang Melayu daripada bumi kita sendiri,” tegasnya.
Kontroversi kewujudan pusat hiburan yang berlokasi di Setia Alam itu
bermula apabila Khalid yang pada awalnya menafikan perkara tersebut,
namun mengakui tentang kewujudannya.
Menurutnya, berdasarkan mesyuarat dengan bahagian perlesenan dan
penguatkuasaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Khamis, pihaknya
mendapati pusat hiburan berkenaan menyalahgunakan lesen bagi tujuan
terbabit.
Selain itu jelasnya, premis berkenaan turut didapati menjual arak tetapi tidak memohon lesen bagi penjualan minuman keras itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan