THE MALAYSIAN INSIDER
KOTA
BARU — Banyak projek pembangunan dapat dilaksanakan di Kelantan
jika Umno dan Barisan Nasional (BN) diberi peluang menguasai semula
negeri ini daripada PAS, kata Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri,
Datuk Mohd Fatmi Che Salleh.
Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Baru berkata
rakyat Kelantan mestilah berpandangan jauh dalam menentukan masa depan
mereka kerana tidak ada kerajaan yang mampu membela rakyat selain
daripada Umno dan BN.
“Pilihan raya umum yang akan tiba tidak lama ini bukanlah
pilihan bagi mengangkat dan menaikkan seseorang calon atau pemimpin,
tetapi lebih kepada menentukan jaminan nasib masa depan,” katanya ketika
berucap merasmikan Majlis Makan Malam Tahunan 2012 Kelab Suara Muda
(KSM), di sini malam tadi.
Kira-kira 1,000 orang menghadiri majlis anjuran kelab
kedua tertua di negara ini selepas Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur
itu.
Beliau berkata berdasarkan perjumpaan tertutup pemimpin
Umno baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata edah
pilihan raya umum akan tamat April tahun depan dan ini bermakna pilihan
raya boleh diadakan bila-bila masa dari sekarang.
“Oleh itu, kita harus meletakkan diri kita dalam keadaan
bersedia untuk menghadapi suasana pilihan raya bila-bila masa dari
sekarang,” katanya. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan