HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Disember 2012

21 NGO bantah Warisan Merdeka 118 tingkat

SYAIRI SHAARI

Wakil NGO membantah cadangan projek pembangunan Warisan Merdeka.
Wakil NGO membantah cadangan projek pembangunan Warisan Merdeka.
 
Lakaran tapak dan bangunan bersejarah.
Lakaran tapak dan bangunan bersejarah.
 
KUALA LUMPUR -  Sebanyak 21 badan bukan kerajaan (NGO) membantah projek pembangunan Warisan Merdeka yang bermula dengan menara setinggi 118 tingkat di tapak lama Taman Merdeka Negara di ibu kota.

Pengerusi Pertahankan Taman Merdeka Negara (PTMN), Ishak Surin berkata, rakyat mula membantah apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan pembangunan Warisan Merdeka yang bernilai RM5 bilion semasa pembentangan Belanjawan 2012.

Menurutnya, Taman Merdeka Negara yang dibina pada 1958 berserta dengan Stadium Chin Woo (1953), Stadium Merdeka (1957) dan Stadium Negara (1962) telah membentuk ‘hartanah rakyat’.

“Inilah satu-satunya kenangan dan kebanggaan rakyat kerana tapak-tapak ini mewakili warisan peringatan sejarah sebelum serta selepas kemerdekaan.

“Dan secara kolektifnya, taman dan bangunan bersejarah ini merupakan kawasan orang awam berkumpul bersama keluarga dari pelbagai bangsa serta agama,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur selepas mesyuarat bersama NGO-NGO bagi membincangkan isu tersebut, kelmarin.

Antara NGO yang hadir adalah Warga Kota Prihatin Kuala Lumpur, Saya Anak Bangsa Malaysia, Sekretariat Pembangunan Kampung Baru, Gereja Gospel Kuala Lumpur, Rakan KL dan Pertubuhan Ikram Malaysia.

Ishak berkata, sebagai rakyat, beliau amat kecewa apabila kawasan milik awam ini telah 'dirampas' tanpa memikirkan kesan kepada generasi akan datang serta pembangunan yang bakal mengubah landskap sejarah negara.

Katanya, pembangunan itu nanti sudah pasti akan mengubah ciri-ciri lambang kemerdekaan negara seperti Stadium Merdeka yang akan dikerdilkan oleh sebuah menara setinggi 118 tingkat.

Semasa pembentangan Belanjawan 2012, Najib telah mengumumkan pembangunan Warisan Merdeka bernilai RM 5 bilion dalam tiga fasa selama 10 tahun, bermula dengan menara 118 tingkat di tapak lama Taman Merdeka Negara atau dikenali Taman Tunku.
Pembinaan dan pemilikan pembangunan itu digunakan sebagai pejabat, gedung membeli belah dan kondominium.

Tiga tuntutan PTMN

Ishak berkata, PTMN menuntut tiga perkara daripada kerajaan supaya warisan sejarah dikekalkan dan terus menjadi milik rakyat.

Katanya, PTMN menuntut melindungi dan memulihara tapak warisan kemerdekaan dan bangunan di sekelilingnya seperti Stadium Merdeka, Stadium Negara, Taman Merdeka Negara dan Stadium Chin Woo yang merupakan warisan kolektif serta peringatan sejarah.

"Kedua; PTMN mendesak supaya projek pembangunan Warisan Merdeka dihentikan segera dan mewartakan seluruh kawasan tersebut sebagai Tapak Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Negara (2005) selain mengembalikan Taman Merdeka Negara kepada rakyat sebagai kawasan awam.

"Ketiga; PTMN memohon kesemua proses perundingan yang terangkum dan terbuka boleh disertai oleh rakyat sebagai pemegang kepentingan yang saksama di semua peringkat perancangan dan proses memulihara Taman Merdeka Negara sebagai kawasan awam milik rakyat," katanya.

Ishak berkata, PTMN telah menghantar surat kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 5 Disember lalu untuk mengetahui apakah status terkini projek pembangunan Warisan Merdeka.

Katanya, sehingga hari ini, rakyat tertunggu-tunggu apakah perkembangan terkini sama ada projek akan dilaksanakan dalam masa terdekat atau tidak.

“Sehubungan itu juga, PTMN akan melancarkan program pada 5 Januari 2013 bertujuan untuk menolak pembangunan Warisan Merdeka di tapak kereta Stadium Chin Woo pada jam lapan malam.
“Selain memberi penjelasan kepada rakyat berhubung projek ini, orang ramai turut akan berarak beramai-ramai berjalan kaki dari stadium ke tapak projek pembangunan Warisan Merdeka,” katanya.

Pertahan warisan sejarah

Wakil dari Rakan KL, Victor Chin berkata, projek tersebut akan melenyapkan lipatan sejarah yang terbina sejak sebelum dan selepas kemerdekaan.

Warisan sejarah ini perlu dipertahankan untuk dinikmati generasi yang akan datang.

“Pembangunan seumpama ini tidak membawa sebarang makna kepada kita dan lebih penting adalah semangat kecintaan kepada negara,” katanya.

Wakil dari Saya Anak Bangsa Malaysia, AJayanath berkata, terdapat empat sekolah di sekitar cadangan projek yang berusia 100 tahun turut akan terjejas dengan pembangunan ini.

“Terdapat seramai 7,500 pelajar dari sekolah-sekolah tersebut akan terganggu dengan pembinaan projek itu nanti.

“Lebih membimbangkan, apakah kesan sosial yang berlaku sekiranya pembangunan ini diteruskan,” katanya.

Tiada ulasan: