HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 Disember 2012

MB Terengganu diminta pertahan hak minyak Bertam

W.SAIDATUL FADZILAH W.NAJEMUDIN

Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi
Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi
 
KUALA TERENGGANU – Seluruh rakyat Terengganu tanpa mengira fahaman politik diminta bersatu untuk mempertahankan kawasan medan minyak di Blok PM307 Bertam yang disahkan berada di kawasan perairan Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bertam, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi turut meminta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sebagai ketua tadbir negeri ini bersama-sama memperjuangkan hak tersebut.

Menurutnya, kawasan itu perlu dipertahankan oleh rakyat Terengganu memandangkan sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan Pahang bakal menerima sekitar RM100 juta setahun ekoran penemuan rizab minyak di medan Bertam itu.

“Ini penting bagi rakyat Terengganu tanpa mengira sentimen politik dengan mengambil kira isu perlembagaan dan kedaulatan negeri Terengganu yang mendapat hasil masyhur yang dikurniakan ALLAH dan menjadi hak rakyat Terengganu.

“Saya seru semua rakyat Terengganu dan rakyat Malaysia untuk bersatu dengan memastikan kawasan minyak Bertam dikembalikan dengan menjadi hak sebenar rakyat negeri ini,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Dalam laporan Sinar Harian 11 Disember lalu, Ahmad Said mengumumkan dalam Sidang Dun bahawa Blok PM307 Bertam berada dalam kawasan perairan Terengganu berdasarkan surat daripada syarikat carigali iaitu Lundan Oil dari Sweden ketika menjawab soalan Syed Azman yang merupakan Adun Pas dari Batu Burok.

Syed Azman yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas bagaimanapun menegaskan, tuntutan bersatu untuk pertahankan kawasan tersebut bukan permainan politik dan meminta sentimen serta kepentingan tersebut diketepikan kerana tuntutan tersebut turut menyentuh hak dan maruah Terengganu.

Pada masa sama, pihaknya juga akan menulis surat kepada Petronas bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu.

“Kita juga bercadang untuk bertemu dengan Pengerusi Petronas minggu depan bagi mendapat penjelasan lanjut,” katanya.

Sementara itu, pihaknya difahamkan mendapat maklumat tidak rasmi daripada pihak tertentu dalam Petronas bahawa kawasan Blok PM307 Bertam memang berada dalam kawasan tersebut.

Bagaimanapun katanya, jika keputusan rasmi mengesahkan kawasan itu bukan milik Terengganu, pihaknya sedia menghormati keputusan terbabit.

“Dalam konteks ini kita menghormati jika ia milik Pahang tetapi mana-mana hasil masyhur di Terengganu mesti dipertahankan sebagai sebuah negeri berdaulat,” katanya.

Tiada ulasan: