SKMM telah menerbitkan kriteria berikut dalam lamanwebnya:
- Warganegara Malaysia berumur 21 tahun hingga 30 tahun.
- Berpendapatan bulanan RM3000 ke bawah.
- Model telefon pintar 3G yang diluluskan dengan harga maksimum RM500.
- Pelanggan jalur-lebar mudah-alih sedia ada atau pakej baru.
- Hanya satu telefon pintar untuk seorang belia.
Permohonan untuk rebat adalah terbuka dari 1 Januari hingga 31 Disember 2013 dan para belia yang berminat boleh memohon melalui lamanweb SKMM.
Setem biru kelihatan di sudut kanan laman web yang bertulis Janji Ditepati, Mulai 1 Januari 2013, Bajet 2013.
Dalam kenyataan akhbar lewat petang ini, pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata had harga adalah perlu kerana dasar itu direka untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan para belia untuk memiliki telefon pintar sendiri.
Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, penolong pengarah jabatan pematuhan SKMM, Fairul Rizal menjelaskan lamanweb suruhanjaya itu diturunkan hari ini kerana beberapa rekabentuk perlu diubahsuai. Lamanweb tidak dapat diakses pada sebelah pagi dan petang tadi.
Katanya, terdapat beberapa pelarasan yang perlu dibuat kepada 'advertorial mock-up' di lamanweb tersebut.
Fairul berkata, pihaknya perlu membuang setem biru yang bertulis 'Janji Ditepati, Mulai 1 Januari 2013, Bajet 2013' kerana pihak pengurusan tidak bersetuju ia dipaparkan di lamanweb tersebut.
Fairul juga merupakan ahli jawatankuasa Pakej Komunikasi Belia yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan rebat tersebut.
Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai harga siling RM500 untuk mendapatkan rebat tersebut, Fairul enggan mengulas.
Pada 28 September, di bawah Bajet 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan rebat RM200 bagi pembelian telefon pintar 3G untuk belia berumur 21 hingga 30 tahun, dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah atau tanpa pendapatan bulanan, daripada peniaga yang dibenarkan bawah Pakej Komunikasi Belia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan