JEMPOL
– Pemuda Umno bahagian Jempol mendakwa, insiden kekecohan yang berlaku
pada Jelajah Oren ‘Selamatkan Felda’ di Felda Bukit Rokan Utara Ahad
lalu sebenarnya berpunca daripada tindakan provokasi pihak berkenaan.
Ketuanya, Mohd Nizam Aman berkata, tidak timbul isu pemuda Barisan
Nasional (BN) bersama penduduk bertindak agresif semasa kejadian seperti
didakwa.
“Keadaan
mula tegang ketika konvoi jelajah terbabit sampai ke persimpangan
Felda Bukit Rokan Utara yang dicetuskan oleh kumpulan itu.
“Saya
tidak berada di lokasi kerana mengadakan sekatan di Felda Bukit Rokan
Barat. Tapi saya diberitahu penduduk yang juga terdiri daripada pemuda
BN telah menghalang perjalanan mereka kerana sejak awal lagi kami semua
tidak setuju kumpulan itu masuk ke Felda,” katanya.
Menurutnya,
mereka sememangnya sejak awal lagi merancang mengadakan sekatan jalan
di lebih 30 tanah rancangan di sana sebaik sahaja mengetahui kehadiran
konvoi jelajah berkenaan.
Bagaimanapun katanya, tujuan sekatan bukan untuk mencetuskan huru-hara tetapi hanya untuk menghalang konvoi itu terus diadakan.
“Kami generasi kedua Felda menolak kehadiran mereka. Tiada sesiapa pun mengalu-alukannya.
“Tiada apa
yang perlu diselamatkan kerana nasib peneroka semakin baik di bawah
Felda. Lagipun selama ini tidak pernah mana-mana parti politik selain
Barisan Nasional (BN) yang membantu peneroka,” katanya.
Mohd Nizam berkata, dia bagaimanapun kesal dengan insiden yang berlaku kerana dua pemuda BN juga turut mengalami cedera ringan.
Sementara
itu, penganjur konvoi tersebut menyifatkan ia kejadian terburuk dan
terhebat di Negeri Sembilan berbanding di negeri lain.
Pengarah
Program Kembara Oren Negeri Sembilan, Abdul Rahman Ramli berkata,
kekecohan yang tidak disangka-sangka itu turut memberi kesan kepada
peserta konvoi apabila dua daripada mereka cedera.
Katanya,
kejadian berlaku apabila rombongan konvoi itu tiba berdekatan
persimpangan Felda Bukit Rokan Utara dan kemudiannya dihalang oleh
beberapa individu.
“Semasa
perbincangan sedang dijalankan, secara tiba-tiba kumpulan yang
menghalang konvoi Oren ini bertindak agresif, dengan memukul kenderaan
pacuan empat roda kami dan secara meluru ke arah Ketua Penerangan Anak
Peneroka Felda
Kebangsaan (Anak), Noraza Muda.
“Pada
waktu yang sama, seorang lagi Ahli Jawatankuasa Anak, Razali Rashad
turut dipukul, sehingga mendatangkan kecederaan di kening, manakala
Noraza cedera di kepala akibat dipukul dengan kayu.
“Melihatkan
keadaan Noraza dalam keadaan separuh sedar, kami memberinya rawatan
ringan sebelum pasukan polis membantu menghantarnya ke Hospital Jempol
untuk mendapatkan rawatan pesakit luar,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas 2 berkata, keadaan Noraza bagaimanapun kini stabil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan