Malahan menurut Ahli Jawatankuasa Bersih, Maria Chin Abdullah, lapan tuntutan itu juga gagal dilaksanakan sebaiknya oleh suruhanjaya yang dipertanggungjawabkan mengendalikan pilihan raya di negara ini.
"Dengan lapan tuntutan ini juga SPR gagal untuk menyelesaikan tuntutan daripada Bersih. Kenapa hendak cakap tentang reformasi pilihan raya untuk jangka masa panjang?," katanya.
"Sekarang ini contohnya ada proses yang baru, dakwat kekal tetapi belum mengumumkan prosesnya kepada orang awam. Patutnya sudah keluar di televisyen sekurangnya di RTM1 dan 2. Proses akan jadi lambat. Orang akan tanya soalan dan sebagainya.
"Ada kemungkinan besar tak dapat habiskan jumlah pengundi di kawasan itu jika undi berakhir jam 5 petang," ujar beliau lagi ketika dihubungi Sinar Harian Online hari ini.
Minggu lalu, dalam satu temubual khas bersama bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, beliau menggambarkan NGO yang menuntut pilihan raya di negara ini dijalankan secara bersih dan adil "gagal mengetengahkan isu sebenar meskipun mereka tahu apa yang mereka mahu".
Meskipun berpeluang untuk menyuarakan dan merombak secara keseluruhan sistem pilihan raya di negara ini, Bersih dalam tuntutan gabungan itu katanya, langsung tidak menyentuh berhubung struktur yang membolehkan keseluruhan undang-undang itu dikaji semula.
Gesaan seumpama itu katanya boleh membawa kepada kerajaan mengambil langkah menggubal perundangan baru yang kesannya jauh lebih besar.
"Bukan satu dua tempat. Ini macam kita tukar bateri, tukar ‘spark plug’, tukar minyak hitam, 'quick fix’ ini (sebenarnya) boleh mendatangkan masalah yang lebih besar. Yang dasarnya tidak berubah," Rahman dipetik sebagai berkata.
Namun menurut Maria, Bersih sejak awal lagi memang mendesak reformasi secara total dilakukan dalam sistem pilihan raya di negara ini.
Namun katanya, tuntutan awal gabungan itu yang meliputi perubahan struktur tidak diendahkan oleh SPR sehingga lah pihaknya terpaksa memilih seminimum mungkin penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dalam PRU13.
"Jangka masa yang panjang memang kita hendak proses ditambah baik dan diubah semula, tetapi untuk jangka masa pendek untuk pilihan raya umum akan datang, ini adalah standard minimum yang diperlukan yang hendak lah dilaksanakan oleh SPR," jelas beliau.
Lantaran itu, beliau mahu pihak yang bertanggungjawab supaya ada 'political will' dalam memastikan pilihan raya di negara ini dilaksakan secara bebas, bersih dan adil demi menjayakan amalan demokrasi sebenar.
"Kami harap kerajaan baru selepas PRU13 nanti lakukan reformasi secara serius dan melakukan 'overhaul'. Mereka patut lakukan 'overhaul' sekarang tapi sekarang kita sudah dekat dengan Pilihan Raya Umum ke-13.
"Kerajaan dan SPR, Bersih rasa mereka tidak ambil inisiatif dan kepimpinan dalam memastikan pilihan raya akan berjalan dengan bersih," ujarnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan