MALAYSIA KINI
MP
Puchong Gobind Singh Deo menggesa polis menjelaskan sama ada pasukan itu
bercadang untuk menjalankan siasatan ke atas dakwaan terhadap perdana
menteri Datuk Seri Najib Razak dan keluarga oleh peniaga permaidani
Deepak Jaikishan.Dalam satu kenyataan hari ini, Gobind berkata dua minggu sudah berlalu sejak pengerusi kebangsaan DAP Karpal Singh membuat laporan polis ke atas Deepak namun masih tiada tindakan yang dilihatnya.
"(Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar) sepatutnya berterus-terang dan memberitahu kita berapa banyak kenyataan sudah diambil setakat ini dan daripada siapa?
"Adakah apa-apa yang dilakukan? Jika tidak, mengapa tidak (bertindak)?," soalnya lagi.
Karpal pada 15 Disember lalu membuat laporan polis terhadap Deepak Jaikishan yang didakwanya mempunyai maklumat baru mengenai kontroversi melibatkan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Beliau mendakwa Deepak melakukan kesalahan kerana menyembunyikan maklumat berkaitan pembunuhan itu selama ini.
Dalam laporannya Karpal memetik wawancara Deepak dengan Malaysiakini bertarikh 27 November 2012 dengan tajuk "Deepak regrets getting involved in Bala's SD".
Karpal menggesa polis menyiasat Deepak mengikut Seksyen 13 Kanun Acara Jenayah yang menetapkan mana-mana individu dengan maklumat tentang jenayah bunuh berdasarkan Seksyen 302 Kanun Keseksaan perlu melaporkannya kepada balai polis terdekat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan