SINGAPURA - Syarikat Asia Pacific Resources International Limited (April) menafikan dakwaan yang mengatakan bahawa syarikat itu bertanggungjawab atas kebakaran di Riau Indonesia sehingga menyebabkan jerebu teruk.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan syarikat itu di laman web rasmi April, tuduhan itu tidak tepat dan tidak konsisten dengan fakta.

“Melalui kajian National Oceanic & Atmospheric Administration (NOAA), disahkan bahawa tiga kebakaran di konsesi kami meliputi sekitar 20 hektar.

“April mengesahkan kesemua kebakaran itu dikesan berpunca dari luar kawasan konsesi kami yang merebak ke dalam konsesi kami,” kata kenyataan itu.

April bakal meneruskan usaha sama dengan kerajaan dan masyarakat setempat untuk memadam kebakaran itu.

Syarikat itu juga telah berjanji untuk menambah tenaga kerja kepada Badan Nasional Penanggulan Bencana (BNPB) untuk menyokong kerajaan dalam usaha menangani kebakaran itu.