HALAMAN SANTAI

Ahad, 2 Jun 2013

Bajet 2014: Rakyat boleh beri cadangan

RAZIF ROSLI

Bajet 2014: Rakyat boleh beri cadangan
Ahmad Husni menikmati mi kari ketika bersarapan bersama penduduk setempat di Manjoi.
 
IPOH – Orang ramai digalakkan memberi idea mengenai Belanjawan 2014 melalui kiriman emel, memorandum atau surat kepada Kementerian Kewangan.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, setiap wakil kumpulan masyarakat boleh mengemukakan apa juga pendapat mereka dan kementeriannya akan menilainya.

“Kita ada pasukan khas yang akan nilai setiap cadangan dan apa yang saya ingin katakan bajet ini bukan bajet kerajaan semata-mata, tetapi ia adalah dari rakyat,” katanya kepada pemberita selepas bersarapan bersama-sama penduduk Gugusan Manjoi, di sini, semalam.

Menurutnya, kementerian sedang mengadakan perbincangan dengan wakil setiap agensi yang terlibat dan mendapatkan maklum balas daripada beberapa kumpulan fokus.

Mereka termasuk golongan profesional, pertubuhan bukan kerajaan, tenaga akademik institut pengajian tinggi dan kumpulan peniaga.

“Belanjawan kini bukan sekadar bajet perbelanjaan tahunan sebaliknya bertujuan membangunkan negara dalam jangka panjang dan kita ada matlamat besar, iaitu menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2020,” katanya.

Katanya, asas kepada pertumbuhan untuk mencapai matlamat besar itu perlu diletakkan dalam Belanjawan 2014 dengan kesemua maklum balas, pandangan, cadangan dan hasil perbincangan diteliti serta dinilai.

“Perbezaan ideologi politik sudah tamat dan kini setiap rakyat tampil beri pandangan. Kini kita hanya ada ideologi bantu negara capai pendapatan tinggi dan kejayaan kita akan beri kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.

Ahmad Husni, yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, kerajaan juga akan memasukkan beberapa aku janji yang dibuat pada PRU lalu dalam Belanjawan 2014 seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang akan ditambah nilai peruntukannya dengan melihat kedudukan tahunan kewangan kerajaan.

"Belanjawan 2014 dijangka dibentang di Parlimen Oktober ini," katanya.

Tiada ulasan: