KUALA LUMPUR - Lebih 500 jemaah hadir pada solat sunat "Istisqa" di Masjid Negara tengah hari tadi bagi memohon hujan berikutan masalah jerebu dan cuaca panas yang sedang melanda negara.

Solat sunat itu yang diadakan selepas solat Zuhur, dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Sheikh Ismail Muhammad.

Turut serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali dan bekas Timbalan Presiden PAS Dr Nasharuddin Mat Isa.

Sheikh Ismail dalam khutbah selepas solat sunat itu, antaranya meminta umat Islam supaya berdoa agar pencemaran udara akibat jerebu akan semakin pulih dan negara dipelihara daripada wabak penyakit.

Beliau berkata umat Islam juga harus sedar bahawa fenomena jerebu ini merupakan peringatan Allah SWT supaya sentiasa patuh atas perintah dan menjauhi larangan Allah SWT.

Pada sidang media kemudiannya, Jamil Khir berkata solat sunat Istisqa itu akan dilakukan secara berterusan sehingga masalah jerebu dapat diatasi, dan berharap negeri lain dapat mengikutinya juga.

"Selain pendekatan secara sains iaitu melalui pembenihan awan, umat Islam juga perlu sama-sama berusaha memohon bantuan daripada Allah melalui kaedah ini," katanya.

Beliau berkata amalan solat sunat itu selalu dilakukan Rasulullah SAW ketika mengalami waktu kemarau.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam menyaran semua masjid, surau, individu, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan solat sunat itu bagi mengatasi masalah jerebu.

Sehingga pagi ini, Pelabuhan Klang, Selangor dan Seri Manjung, Perak kini dikategori paras bahaya apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) masing-masing mencatatkan lebih 300. - Bernama