Masih ramai umat Islam di negara ini mengambil mudah mengenai
fatwa "merokok adalah haram" yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa
Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam pada 1995.
Justeru, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam)
Sarawak Datuk Abdul Rahman meminta umat Islam, khususnya di negeri itu
memahami maksud tersirat di sebalik pengharaman berkenaan.
"Kita tidak mahu kehidupan kita dibelenggu dengan perbuatan yang
diharamkan oleh Islam serta memudaratkan kesihatan kita," katanya ketika
berucap merasmikan Seminar Pendidikan Fatwa Kesihatan 2013, di sini
hari ini.
"Keputusan muzakarah yang diputuskan banyak berkait rapat dengan
kepentingan nasional dan masyarakat awam yang perlu diberi perhatian dan
dipatuhi. Program seperti ini merupakan wadah yang amat baik bagi
menyebar luas keputusan-keputusan fatwa yang telah dibincang bagi
pengetahuan kefahaman masyarakat awam," katanya.
Seminar hari ini menumpukan tiga isu penting iaitu rokok, pelalian,
dan pengguguran bayi dengan penekanan kepada isu kesihatan yang telah
dikenal pasti bagi mendidik masyarakat Islam tentang pandangan agama dan
hukum mengenai isu berkenaan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan