Tan Sri Musa Hassan
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, mereka perlu guna saluran undang-undang menyatakan perasaan tidak puas hati, termasuk dakwaan lampu padam di pusat kiraan dan terdapat pengundi warga Bangladesh.
“Negara kita ada undang-undang, biar mahkamah putuskan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan agar perhimpunan Blackout 505 dihentikan kerana ia satu provokasi yang tidak diperlukan.
Musa berkata, kerajaan perlu ambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak melanggar undang-undang negara.
“Sepatutnya, selepas PRU13, ahli politik yang dipilih rakyat perlu menjaga hal ehwal rakyat dan negara, bukan menganjur perhimpunan dan membangkitkan isu perkauman yang boleh merosakkan negara.
“Mereka boleh berfikir. Melakukan perkara yang merosakkan negara akan menyusahkan semua pihak,” katanya.
Katanya, kedua pihak, sama ada kerajaan atau pembangkang, perlu jaga perpaduan rakyat dan keselamatan negara.
“Jika ada mana-mana pihak yang tidak menjaga kepentingan ini, kerajaan perlu bertindak. Jangan merosakkan keamanan sedia ada,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan