Satu
syarikat yang ada kaitan dengan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary
kemungkinan akan menjadi rakan teknikal Luster Industries Bhd di dalam
projek pembangunan pelabuhan Kuala Muda, kata Pengarah Urusan
Kumpulannya, Lim See Chea.Katanya Syed Mokhtar dilihat sebagai rakan teknikal terbaik jika diambil kira beliau kini memiliki Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor melalui MMC Corp Bhd.
"Ya, Syed Mokhtar, yang berasal dari Kedah mempunyai kepakaran di dalam pembangunan pelabuhan, yang sesuai menjadi rakan teknikal bagi usahasama (di dalam projek pembangunan pelabuhan Kuala Muda)," katanya dalam satu temu bual.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai hasrat syarikat itu untuk meneroka kemungkinan dilakukan pembangunan dan penambahbaikan pelabuhan Kuala Muda sekarang ini.
Dalam satu pengumuman kepada Bursa Malaysia Khamis lepas, Luster mengesahkan hasratnya untuk meneroka sebarang kemungkinan dilakukan pembangunan dan penambahbaikan ke atas pelabuhan Kuala Muda sedia ada tetapi masih belum menerima pengesahan dari kerajaan negeri Kedah.
Syarikat itu, baru-baru ini, dijemput oleh kerajaan negeri supaya mengkaji projek itu.
Lim, yang dilaporkan memiliki kira-kira 18 peratus daripada kepentingan syarikat itu, berkata Luster dijemput kerana ia menepati beberapa kriteria asas, yang termasuk merupakan entiti tersenarai awam, satu syarikat dari Kedah dan mempunyai kunci kira-kira yang bersih.
Pelabuhan Kuala Muda menghubungkan tanah besar negeri itu dengan pulau Langkawi melalui hubungan laut.
Adalah difahamkan bahawa pembangunan pelabuhan itu akan memanfaatkan Langkawi, terutama sekali di Pulau Rebak, yang akan membantunya menjadi salah satu destinasi percutian utama di dunia.
Pada 2011, DRB-Hicom Bhd, satu syarikat yang dikuasai oleh Syed Mokhtar dilaporkan sedang merangka pelan untuk menjadikan Pulau Rebak sebagai pusat tarikan percutian bagi golongan kaya dan terkenal.
Kumpulan itu mahu membangunkan satu konsep "butik" percutian mewah di sana bagi disepadankan dengan "The Residences" di W Bali, "Bvlgari Residences" dan Banyan Tree Ungasan di Bali, "Six Senses Private Residences" di Vietnam, "The Yamu" di Phuket, "W Residence" di Koh Samui dan "St Regis Saadiyat Island Resort" di Abu Dhabi. -- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan