HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Mei 2020

Serbuan imigresen gagal hukum dalang sebenar, kata NGO

Pekerja tanpa dokumen ditahan dalam serbuan pihak berkuasa imigresen baru-
baru ini.

PETALING JAYA: Persatuan hak asasi manusia membidas pihak berkuasa imigresen atas kegagalan menghukum pihak yang disifatkan sebagai “dalang sebenar” di sebalik isu pekerja tanpa dokumen.

Ejen pekerja dan majikan adalah antara dalangnya, kata pengarah Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira.

Bercakap kepada FMT, beliau berkata, paling mengecewakan ialah hakikat bahawa serbuan terbaru imigresen hanya menyaksikan beberapa ribu pekerja asing dijatuhi hukuman.

Beliau berkata, terdapat banyak cara bagaimana seorang pekerja asing boleh menjadi pekerja tanpa dokumen, termasuklah layanan buruk oleh ejen atau majikan.

“Tiada penyelidikan yang dibuat tentang bagaimana pekerja asing menjadi pekerja tanpa dokumen. Keadaan ini akan memanjangkan masalah buruh paksa dan penyeludupan manusia di Malaysia,” katanya.

Beliau mendakwa, sesetengah ejen pekerjaan akan membuat penggantian kontrak, lalu mengakibatkan pekerja gagal mendapat tawaran yang dijanjikan.

Katanya, susulan kurangnya remedi bagi pekerja asing, menyebabkan mereka tiada pilihan, selain melarikan diri. Ini menjadikan mereka pendatang tanpa dokumen.

Beliau berkata, dalam isu buruh paksa atau pekerja gagal mendapat upah, pekerja yang aduannya tidak dipedulikan selalunya berpindah kepada peluang pekerjaan yang lebih selamat.

“Bagaimanapun dari sudut undang-undang, pekerja sedemikian dianggap sebagai tidak mempunyai dokumen kerana mereka tidak memiliki kontrak atau permit baru dengan majikan baru.

“Dengan menghukum pekerja asing, kerajaan melepaskan banyak pelaku yang menyebakan mereka menjadi tidak berdokumen.

“Tidak membuat siasatan tentang bagaimana pekerja asing menjadi tidak berdokumen adalah bercanggah dengan keadilan.”

Pereira mengulangi gesaannya supaya kerajaan memberi pengampunan kepada pendatang asing tanpa dokumen.

Katanya, pekerja yang mahu pulang ke negara asal hendaklah dibenarkan berbuat demikian dengan selamat, sementara mereka yang berminat untuk bekerja di Malaysia ditawarkan penyertaan dalam program pengambilan semula.

Beliau berkata, kedua-dua inisiatif hendaklah dikendalikan secara langsung oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), bukan melalui ejen.

Katanya, program pengambilan semula 2016 menyaksikan ramai pendatang asing gagal memperolehi status pekerja sah walaupun mereka terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk tujuan pendaftaran.

“Tidak ada orang tahu kenapa ia berlaku, tetapi ramai pendatang asing membayar sejumlah besar wang kepada ejen. Sesetengahnya sampai RM8,000.”

Beliau menggesa KDN dan Majlis Keselamatan Negara supaya bekerjasama rapat dengan NGO hak migran bagi mengatasi masalah pendatang tanpa dokumen.


Tiada ulasan: