Seorang peguam yang dekat dengan Dr Mahathir Mohamad membangkitkan isu kesahan surat pemecatan bekas perdana menteri itu dan empat lagi pemimpin Bersatu.
Haniff Khatri berkata surat ditandangai oleh Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya tidak sah dan tidak terpakai kerana jawatannya “tidak diiktiraf ataupun ditakrifkan” dalam perlembagaan Bersatu.
“Kapten Muhammad Suhaimi Bin Yahya (Bersara) sebagai setiausaha kerja parti Bersatu tidak mempunyai apa-apa kuasa eksekutif untuk membuat apa-apa keputusan ataupun takrifan mahupun urusan berhubung perlembagaan parti Bersatu secara peribadi, seperti yang dilakukannya melalui keempat-empat penjuru surat ‘pemberhentian’ ahli bertarikh 28.05.2020 itu,” katanya.
Sehubungan itu, kata Haniff, keanggotaan kelima-lima yang dikatakan dipecat tidak terjejas.
Suhaimi semalam menghantar surat membatalkan keahlian Mahathir, timbalan presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir; Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta anggota majlis tertinggi Bersatu, Maszlee Malik dan Amiruddin Hamzah.
Keputusan itu dibuat kerena mereka duduk di blok pembangkang semasa sidang Dewan Rakyat 18 Mei lalu.
Kelima-lima mereka mempertikaikan tindakan berkenaan.
Sebagai tindak balas, setiausaha agung Bersatu yang jawatannya dalam pertikaian, Marzuki Yahya memecat Suhaimi atas alasan mengeluarkan surat itu tanpa merujuk kepadanya selaku ketua pentadbir Ibu pejabat parti.
Sementara itu, Haniff berkata, Suhaimi tidak menyatakan secara jelas surat itu dikeluarkan atas arahan siapa dan sama ada pihak yang membuat arahan itu mempunyai bidang kuasa atas tindakan itu.
Haniff berkata tindakan perundangan lanjut akan diambil selepas perbincangan dengan Mahathir dan yang lain, dalam masa terdekat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan