PETALING JAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) digesa mengkaji semula yuran pengajian di institut pengajian tinggi (IPT), selepas Putrajaya mengarahkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilaksanakan dalam talian sehingga 31 Dis ini.
Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, Covid-19 bukan saja memberi impak besar kepada kehidupan seharian rakyat, tetapi turut memberi kesan kepada pelajar IPT.
“Hal ini diambil kira dari segi fasiliti yang tidak digunakan sepenuhnya oleh mahasiswa memandangkan hampir 80% mahasiswa sudah kembali ke kampung halaman dan tidak menggunakan fasiliti universiti sepenuhnya.
“Berkenaan yuran pengajian serta kolej kediaman, MPPK berharap Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad dapat meneliti serta mempertimbangkan hasrat diutarakan demi kelangsungan mahasiswa di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan IPT tidak lagi dibenar menjalankan semua aktiviti PdP secara bersemuka di dalam kampus, sebaliknya ia perlu dilaksanakan secara dalam talian sehingga akhir tahun ini.
Tetapi, pengecualian diberikan kepada 5 kategori pelajar untuk pulang ke kampus secara berperingkat bagi melaksanakan PdP.
Ia termasuk pelajar pasca siswazah mod penyelidikan di universiti awam dan institusi pendidikan tinggi swasta yang diberikan kebenaran menyambung penyelidikan dengan kadar segera.
Pelajar tahun akhir pengajian di peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda yang memerlukan kerja klinikal, latihan amal, makmal, bengkel, studio reka bentuk, praktikal atau peralatan khusus dibenar melaksanakan PdP di kampus seawal 1 Julai ini.
Pelajar berkeperluan khas yang mengikuti program pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET) di politeknik serta kolej komuniti yang perlu mendapat bimbingan secara bersemuka bagi melaksanakan PdP kerana masalah pembelajaran dibenarkan seawal 1 Ogos.
Amir berkata, KPT perlu memberi garis panduan atau saranan kepada IPT bagi menangani isu yuran pelajar kerana masih ada IPT tidak membuat pendirian berhubung isu ini.
Katanya, beberapa wakil majlis perundingan pelajar di IPT sudah membangkitkan isu berkaitan yuran pengajian pelajar, namun masih tiada tindakan lanjut sehingga kini.
“MPPK memohon KPT memandang serius isu ini supaya ia dapat diselesaikan dengan baik dan masalah membabitkan PdP pelajar tidak terganggu. Perlu diingatkan, kebajikan pelajar adalah tanggungjawab utama pengurusan universiti.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan