HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Mei 2020

PH pertingkat ‘perang psikologi’, dakwa cukup sokongan untuk menghadap Agong

Ahli Parlimen PKR hadir ke Istana Negara untuk menghadap yang di-Pertuan
Agong untuk menyatakan pilihan perdana menteri mereka pada Februari lepas.

PETALING JAYA: Parti paling kecil dalam Pakatan Harapan (PH) melancarkan “perang psikologi” sewaktu bekas gabungan kerajaan itu mempertingkat kempennya untuk kembali berkuasa, kata sumber yang maklum mengenai perbincangan untuk menumbangkan kerajaan 3 bulan Perikatan Nasional (PN).

Beberapa hantaran di media sosial oleh individu yang rapat dengan Amanah turut mendakwa PH, gabungan 3 parti yang ditendang keluar dari Putrajaya selepas PPBM keluar pada Februari mendakwa ia kini mempunyai sokongan majoriti 222 ahli Parlimen di pihaknya.

Malah satu hantaran mendakwa PH kini menunggu untuk hadir ke istana menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memaklumkan mereka mempunyai sokongan mencukupi melalui kenyataan bersumpah (SD) yang ditandatangani oleh ahli Parlimen.

Seorang pakar undang-undang yang mahir mengenai peranan istana menolak dakwaan itu.

Beliau berkata, keadaannya berbeza dengan krisis politik pada Februari lepas apabila kerajaan PH tumbang berikutan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad.

“Agong sudah pasti tidak akan melayan SD baru daripada gabungan yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti. Tidak ada obligasi sedemikian dipertanggungjawabkan ke atasnya di bawah Perkara 43 (4), katanya dengan menambah bahawa ucapan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Dewan Rakyat pada 18 Mei lepas menjelaskan perkara itu.

“Membenarkannya akan mencetuskan krisis dan ketidakstabilan politik kerana setiap 2 bulan mungkin akan ada parti politik yang hadir ke istana mendakwa mereka mempunyai sokongan majoriti,” katanya.

‘Perang psikologi biasa’

Sumber yang rapat dengan lingkungan PH mendedahkan bahawa dakwaan mengenai perubahan di Putrajaya adalah perkara “biasa” dengan berkata, ia “menyerupai kempen sebelum ini”.

“Ia menyamai perang psikologi pemimpin tertentu pada 2008 yang mendakwa mempunyai sokongan untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada masa itu,” kata orang dalam PKR, dipercayai merujuk kepada kempen 16 September 2008 oleh Anwar Ibrahim untuk mengambil alih kerajaan persekutuan, 5 bulan sebelum kejayaan besar gabungan Pakatan Rakyat yang dianggotainya.

Khabar angin dan spekulasi mengenai majlis menghadap di Istana Negara tersebar dalam kalangan penyokong PH sejak malam semalam.

Ini termasuklah dakwaan bahawa Parlimen akan dibubarkan esok bagi membuka jalan kepada pilihan raya umum, sementara yang lain bercakap tentang “kesihatan” Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin dikenakan perintah kuarantin 14 hari sejak minggu lepas selepas menghadiri mesyuarat pasca Kabinet yang menyaksikan seorang pesertanya disahkan dijangkiti Covid-18 selepas itu.

Terbaru pengarah komunikasi Amanah Khalid Samad, yang merupakan antara pemimpin PH yang lantang sejak ia tumbang 3 bulan lepas, berikrar untuk bekerja keras bagi mendapatkan semula mandat pilihan raya gabungan politik itu.

“Ia adalah persoalan memenuhi amanah rakyat,” kata bekas menteri Wilayah Persekutuan itu pada sidang media di pejabat beliau di Shah Alam.

FMT tidak dapat mengesahkan sama ada terdapat permohonan untuk menghadap Agong hari ini.

Dua minggu lepas Sultan Abdullah mempertahankan keputusan mengehadkan persidangan Dewan Rakyat selama 1 hari dengan agenda tunggal Titah Diraja.

“Beta ingin menasihatkan supaya tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu, ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang cukup sukar akibat pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Sultan Abdullah juga berkata, beliau memberi masa secukupnya kepada ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak untuk mencadangkan nama calon perdana menteri.

“Setelah melalui semua proses tersebut, dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, beta mendapati Tan Sri Muhyiddin bin Haji Yassin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat dan dengan demikian selayaknya dilantik sebagai perdana menteri ke-8,” katanya.

Bagaimanapun wujud dakwaan bercanggah mengenai bilangan ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN.

Susunan tempat duduk persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei menunjukkan 114 ahli Parlimen berada di pihak kerajaan, 107 pembangkang dan 1 Bebas.

FMT sebelum ini memetik seorang pegawai Parlimen yang berkata, susunan tempat duduk baru akan dibuat pada persidangan Julai berikutan aduan yang diterima.

Tiada ulasan: