KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya menggubal hukuman lebih berat termasuk hukuman restoratif bagi pemandu mabuk tanpa mengira sama ada mereka terlibat di dalam kemalangan atau tidak.
Bukan setakat itu, sebaliknya kerajaan juga perlu menggubal peraturan khusus bagi pemandu mabuk yang menyebabkan kerosakan awam, kecederaan atau kematian serta dikenakan tindakan gantirugi bagi membaiki kerosakan awam, membayar mangsa yang cedera dan keluarga mangsa yang maut.
Itu gesaan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) apabila turut mahu kerajaan membatalkan lesen memandu pemandu yang didapati mabuk walaupun tidak terlibat dalam kemalangan.
Presidennya, Aminuddin Yahaya berkata, kerajaan juga perlu menghadkan pengambilan minuman keras di premis persendirian sahaja.
Larangan keras pengambilan minuman alkohol kepada umat Islam.
“Pembela ingin kerajaan mengambil langkah lebih tegas membanteras gejala memandu ketika mabuk dan mendesak kerajaan mengambil tindakan-tindakan yang dinyatakan bagi mengekang gejala tersebut yang sudah meragut banyak nyawa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Aminuddin, pihaknya sangat khuatir dengan beberapa insiden baru-baru ini berkaitan pemandu mabuk hingga menyebabkan kematian termasuklah melibatkan anggota keselamatan.
Katanya, perkara itu bukanlah suatu perkara asing kerana ia secara berterusan berlaku.
Kejadian itu bukan sahaja menyebabkan kematian mangsa sebaliknya, mengakibatkan keluarga mangsa kehilangan orang tersayang dan pencari nafkah.
“Perbuatan yang tidak bertanggungjawab serta mementingkan diri sendiri sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan ini juga tidak sejajar dengan nilai dan norma lazim di Malaysia serta tidak berpaksi kepada budaya leluhur dalam negara kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan