HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Mei 2020

Kumpulan hak asasi bidas Ismail Sabri berhubung isu migran

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata, individu yang memasuki negara
ini secara haram tidak boleh terus tinggal di sini tanpa dokumen.

PETALING JAYA: Dua kumpulan yang memperjuangkan hak migran membidas Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berhubung kritikan beliau terhadap pihak yang mempertahankan pendatang asing tanpa dokumen di negara ini susulan keputusan kerajaan untuk menghantar balik mereka yang disahkan negatif Covid-19.

Pengarah Inisiatif Utara-Selatan Adrian Pereira berkata, Ismail, yang juga menteri pertahanan, seolah-olah mahu menidakkan kegagalan kerajaan dalam melindungi pekerja migran.

Beliau berkata, walaupun terdapat banyak laporan mengenai buruh paksa yang dibuat oleh NGO di Malaysia dan komuniti antarabangsa, namun komen Ismail menunjukkan kerajaan tidak bersikap jujur dengan orang ramai.

“Jelas beliau salah maklumat apabila bercakap mengenai isu ini.

“Kenapakah beliau tidak mengubungi mana-mana NGO hak migran bagi mencari penyelesaian atau mendapatkan kefahaman lebih baik mengenai isu ini? Ini jelas menunjukkan kegagalan Malaysia menggunakan ‘pendekatan menyeluruh kerajaan’ dalam menangani isu ini,” katanya kepada FMT.

Pendekatan menyeluruh kerajaan merujuk kepada aktiviti bersama beberapa kementerian dan agensi dalam mencari penyelesaian bagi satu-satu masalah.

Pereira juga mendakwa bahawa kerajaan tidak meneliti nasihat komuniti antarabangsa dan pakar perubatan tentang bagaimana untuk mengurus orang asing semasa krisis Covid-19.

“Mungkin kita merupakan negara ‘berkulit tebal’ yang tidak menghormati nasihat mereka,” katanya.

Dalam taklimat hariannya semalam, Ismail berkata, pihak yang memperjuangkan hak pekerja asing tanpa dokumen perlu faham bahawa adalah salah bagi mereka yang memasuki negara ini secara haram terus tinggal di sini tanpa dokumen yang diperlukan.

“Saya tidak tahu jika ada negara lain yang membenarkan pendatang tanpa dokumen terus tinggal (di negara itu),” katanya selain menambah bahawa mereka yang tidak ditahan boleh menyebarkan virus Covid-19.

Beliau juga berkata, keutamaan kerajaan ialah memastikan keselamatan rakyat, dan ia tidak akan tunduk kepada tuntutan kumpulan hak asasi manusia.

Sumitha Shaanthini Kishna, yang mengetuai NGO bernama “Our Journey” berkata, mungkin lebih baik bagi migran untuk pulang ke negara asal kerana “kita tidak tahu bagaimana untuk menghargai sumbangan mereka”.

Beliau juga berkata, Putrajaya harus mendapatkan rakyat Malaysia untuk melakukan kerja yang dibuat oleh pekerja migran sekiranya pandangan kita terhadap komuniti itu begitu rendah.

“Saya bosan dengan keangkuhan. Biarkan pekerja migran pergi ke tempat lain. Tentu ada negara lain yang akan menghargai mereka,” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga mengkritik kelemahan sistem untuk memantau pembaharuan permit pekerja terbabit yang menurutnya merupakan tanggungjawab majikan.

“Kenapa salahkan migran kerana tidak mempunyai dokumen?” soalnya dengan menambah bahawa bilangan migran tanpa dokumen di negara ini menggambarkan ketidakcekapan kerajaan dalam mengawal sempadan.

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty bersetuju bahawa ramai migran tanpa dokumen merupakan mangsa pihak yang mengeksploitasi kelemahan dasar kerajaan.

Sebaliknya katanya, mereka (pekerja migran) dikeji, bukannya ejen atau majikan yang mengeksploitasi mereka.

“Mereka (ejen dan majikan) adalah punca masalah. Kerajaan mesti menangani punca masalah itu, bukannya bergantung pada retorika murahan.”

Dalam satu kenyataan ia berkata, rawatan boleh diberikan tanpa penahanan besar-besaran pendatang tanpa dokumen, yang menurutnya boleh mendedahkan migran yang sihat kepada risiko jangkitan.

“Jangkitan dalam kalangan migran di pusat tahanan tidak harus dilihat sebagai “korban munasabah” dalam usaha kita memerangi pandemik itu.

“Penjagaan kesihatan adalah hak asasi yang mesti diutamakan pada masa-masa mencabar seperti sekarang.”


Tiada ulasan: