PUTRAJAYA: Perlembagaan PPBM tidak memberikan kuasa mutlak kepada mana-mana pihak untuk memecat atau menggugurkan keahlian, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang keahliannya “terhenti” kerana menyertai blok pembangkang.
Syed Saddiq berkata tiada klausa yang memberikan kuasa kepada parti untuk ambil tindakan secara mutlak, susulan perbincangan mengenai hak membela diri bagi ahli yang berdepan tindakan antara beliau dengan pengasas PPBM lain.
“Perlembagaan ini dibuat berdasarkan pengalaman Muhyiddin Yasin selepas dia dilucutkan jawatan sebagai timbalan presiden Umno. Muhyiddin tidak diberikan hak membela diri,” katanya pada sidang media hari ini.
Oleh itu, pemakluman mengenai pengguguran keahlian beliau dan 4 pemimpin lain adalah “tidak adil” dan “tidak bersandarkan fakta yang betul”.
Baru-baru ini, surat yang ditandatangani Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya memaklumkan keahlian Syed Saddiq, Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Mukhriz, serta Maszlee Malik, dan Amiruddin Hamzah dihentikan serta-merta selepas mengingkari parti.
Setiausaha Agung Hamzah Zainudin menegaskan mereka tidak dipecat, tetapi keahlian mereka “terhenti” kerana melanggar perlembagaan PPBM.
Syed Saddiq bersama 4 pemimpin terbabit mendakwa ia bertentangan dengan undang-undang parti dan parti secara tidak langsung menafikan hak mereka untuk membela diri dan memberi penjelasan.
Menjelaskan kedudukannya di Dewan Rakyat yang tidak bersama wakil-wakil rakyat Perikatan Nasional, Syed Saddiq memilih untuk berada di blok yang tidak berpihak kepada pembangkang dan kerajaan.
“Kami setuju akan duduk di tengah, bebas sebagai Ahli Parlimen PPBM kerana ini pendirian terakhir kami kepada Parlimen. Tuduhan kami duduk di kerusi Pakatan Harapan sama sekali tidak betul.”
Beliau juga mengingatkan PN juga gabungan “tidak rasmi”.
“Pendirian Umno adalah pendirian ahli Parlimen untuk menyokong Muhyiddin. Ini sokongan individu,” katanya.
Turut bersama sidang media hari ini adalah Ketua Penerangan Pemuda PPBM, Ulya Aqamah Husamudin yang menyeru mesyuarat agung khas diadakan secepat mungkin bagi menyelesaikan kemelut parti.
“Peringatan kepada semua pimpinan, ahli Pemuda PPBM dan anak muda parti melebihi 50% jumlah keahlian keseluruhan. Jadi tolong dengar kehendak kami yang mahukan mesyuarat agung khas dan mereka ini boleh mempertahankan diri jika merasakan diri mereka betul,” katanya.
Ulya turut memaklumkan Pemuda PPBM tidak bersetuju dengan tindakan menghentikan keahlian Syed Saddiq dan 4 pemimpin lain itu.
Katanya, pendirian itu disokong 236 pimpinan Pemuda PPBM di peringkat pusat, negeri, bahagian, dan cawangan.
“Pemuda PPBM seluruh negara masih mengiktiraf Mahathir sebagai pengerusi dan Syed Saddiq sebagai ketua Pemuda,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan