Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii, mengingatkan Dr Mahathir Mohamad bahawa peralihan sokongan beberapa anggota parlimen Bersatu bukan jaminan beliau akan kembali menjadi perdana menteri.
Mohd Razlan berkata Mahathir yang juga perdana menteri ketujuh itu perlu sedar akan kesan penyebaran klip audio mesyuarat parti Bersatu sebelum ini.
"Walaupun dengan peralihan sokongan empat atau lima orang ahli parlimen Bersatu kepada pasukan Tun M (Mahathir) ianya tidak akan menjamin beliau akan menjadi perdana menteri semula.
"Beliau harus sedar bahawa selepas tersebarnya klip audio mesyuarat Bersatu di mana Tun M dengan jelas mengatakan bahawa beliau tidak suka Anwar Ibrahim dan DAP.
"Itu adalah isyarat jelas Tun M tidak ikhlas bersama-sama PKR dan DAP. Mereka mungkin boleh duduk semeja dan senyum mengangkat tangan tapi adakah PKR dan DAP tidak bersedia sekiranya mereka berasa bakal ditipu buat kali ke berapa oleh Tun M dan melantik dirinya sendiri sebagai Perdana Menteri kesembilan?" soalnya.
"Sudah tentu tidak sama sekali. Malah sekarang, Tun M juga bukan lagi ketua pembangkang tetapi Anwar Ibrahim," kata Mohd Razlan dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Razlan berkata demikian mengulas tindakan Mahathir yang juga pengerusi Bersatu bahawa parti itu akan memecat presidennya Muhyiddin Yassin melalui "proses yang betul" semalam.
Masa membantu kerajaan
Bercakap pada sidang media di ibu pejabat Bersatu, Mahathir berkata keputusan memecat Muhyiddin hanya akan dibuat majlis pimpinan tertinggi (MPT) parti itu melalui mesyuarat.
Perkembangan itu dibayangi dengan desas-desus ada menteri dan timbalan menteri akan meletak jawatan serta beberapa ahli parlimen yang lain akan menarik balik sokongan kepada Muhyiddin.
Kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Muhyiddin kini didakwa memiliki sokongan rapuh daripada kalangan ahli parlimen, malah jumlah mereka yang ada di belakang perdana menteri berbanding Pakatan Harapan dan Mahathir juga dipercayai tipis.
Mengulas lanjut, Mohd Razlan yang juga naib ketua Umno Seputeh menekankan bahawa di tengah pandemik Covid-19, tumpuan harus diberikan kepada rakyat dan bukannya polemik politik.
"Tun M harus peka akan nasib rakyat di negara ini yang kini berada di dalam ketidaktentuan pendapatan. Kerajaan Muhyiddin sedang berusaha membantu rakyat dan juga menangani wabak Covid–19, maka biarlah kerajaan yang ada berkhidmat untuk rakyat," katanya.
Menurut Mohd Razlan, sebelum ini Mahathir juga pernah berkata bahawa beliau sayang negara ini dan mahu lihat negara stabil dari segi ekonomi serta politik.
Oleh itu, Mohd Razlan berkata inilah masanya Mahathir membantu kerajaan.
"Rakyat telah sedar bahawa tujuan tersirat Mahathir adalah cuba mewujudkan keadaan kucar-kacir dan melaga-lagakan semua lawannya dan akhirnya beliau akan mendapat keuntungan tersebut.
"Disebabkan keadaan politik yang tidak keruan dan akhirnya akan menyebabkan ekonomi negara kembali merudum dan malah boleh jadi lebih teruk.
"Perkara ini sudah tentu tidak menguntungkan rakyat dan pelaburan asing.
"Sudah-sudahlah. Anda sudah menjadi perdana menteri hampir 24 tahun. Anak-anak anda sudah bergelar jutawan dan keluarga anda juga hidup senang.
"Apa lagi yang tidak cukup? Khidmat anda sudah tidak diperlukan lagi. Negara ini bernama Malaysia bukannya Mahathir, maka jangan peralatkan negara seperti milik peribadi," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan